ALOR SETAR: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan membabitkan beberapa kluster industri di negeri ini terutamanya di Sungai Petani dijangka menjadi antara faktor membantu negeri ini beralih ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) tidak lama lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman berkata, langkah itu dijangka mampu membendung penularan Covid-19 di kawasan terlibat.
Selain itu, katanya, beberapa tindakan telah diambil bagi meningkatkan pemberian vaksin kepada rakyat mengikut bekalan dos yang diterima dari Kerajaan Pusat.
“Usaha sedang dijalankan bagi memenuhi nilai ambang ditetapkan untuk kita beralih ke Fasa 2 PPN. Lagi pun pada masa ini, Kedah sudah mencapai jumlah vaksinasi lengkap lebih sembilan peratus dan mungkin kita akan memasuki fasa kedua PPN tidak lama lagi.
“Selain PKPD, Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) turut digerakkan bagi memberi vaksin kepada golongan pekerja industri di Sungai Petani, Kulim dan Alor Setar,” katanya ketika pemberita di sini hari ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini memaklumkan, Kawasan perindustrian Bakar Arang di sini merupakan antara kawasan PKPD mulai tengah malam tadi.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, zon kilang itu meliputi Taman Cahaya PKNK selain Taman Bandar Baru Sungai Lalang dan Taman Lembah Permai ekoran berlaku peningkatan kes Covid-19 dalam tempoh singkat.
Terengganu, Perak, Pahang, Perlis dan Kelantan merupakan antara negeri yang telah beralih ke fasa 2 PPN berkuatkuasa semalam apabila berjaya memenuhi semua nilai ambang termasuk mencatat liputan vaksin lengkap melebihi 10 peratus dalam kalangan penduduknya.
Mengulas lanjut, Dr. Mohd. Hayati katanya, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) juga turut berusaha memberi rawatan terbaik dalam usaha mengurangkan jumlah mereka yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Saya mengharapkan kerjasama semua penduduk di negeri ini agar menjaga kesihatan dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi membantu kita mencapai nilai ambang ditetapkan kerajaan,” katanya. – UTUSAN










