Kebenaran khas dua hari kurangkan kesesakan pelabuhan - Utusan Malaysia

Kebenaran khas dua hari kurangkan kesesakan pelabuhan

WEE KA SIONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Semua aktiviti pengendalian, penerimaan, pemunggahan untuk ‘loading’ dan ‘unloading’ barangan import ‘non-essential’ bagi tujuan import dan eksport di kawasan yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) diberikan kebenaran khas  dua hari.

Kebenaran khas itu diberikan sehingga Sabtu ini bagi mengurangkan kesesakan di pelabuhan-pelabuhan seluruh negara yang ada daripadanya mencapai kapasiti 80 peratus.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, perkara itu diluluskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Selasa lalu bagi aktiviti ‘loading’ dan ‘unloading’ pula dibenarkan pada hari Isnin, Rabu dan Jumaat mengikut prosedur operasi standard (SOP) MKN sedia ada.

Beliau berkata, kementerian komited memastikan kapasiti gudang dan pelabuhan di seluruh negara tidak terjejas sehingga membantutkan rantaian ekonomi ketika berdepan cabaran akibat pandemik Covid-19 serta membantu para pemain industri dapat menjalankan pengoperasian mereka dengan selamat dan cekap.

Menurutnya, kementerian terus memantau perkembangan di pelabuhan dan lapangan terbang dari semasa ke semasa bagi memastikan barangan dan kargo dapat terus berjalan dengan selamat mengikut SOP ketat pencegahan Covid-19 seperti yang ditetapkan MKN.

“Ini amat penting bagi tempat yang sibuk seperti Pelabuhan Klang supaya dapat mengekalkan pengoperasian yang cekap dan mengelakkan berlakunya kesesakan akibat kepadatan kargo sepanjang tempoh PKPD.

“Langkah ini juga diharapkan dapat membantu pemain industri mengurangkan kos penyimpanan yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, syarikat-syarikat dalam industri terlibat mesti mematuhi syarat-syarat seperti mematuhi SOP pengangkutan dan logistik bagi tempoh PKP yang dikemas kini pada 15 Jun lalu.

Selain itu, katanya, syarat yang perlu dipatuhi ialah tidak membenarkan individu di bawah pemantauan (PUS) atau mereka yang dikenakan kuarantin untuk mengambil bahagian dalam mana-mana aktiviti yang dibenarkan.

“Semua protokol penjagaan kesihatan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan termasuk pemeriksaan suhu badan, mengimbas kod QR menerusi aplikasi MySejahtera, mengamalkan penjarakan fizikal, menggunakan cecair pembasmi kuman dan memakai pelitup separuh muka juga perlu dipatuhi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN