Jenazah selesai disolat disahkan positif Covid-19 - Utusan Malaysia

Jenazah selesai disolat disahkan positif Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU:  Penduduk di Kampung Titian Akar, di sini, dikejutkan selepas  jenazah seorang penduduk yang selesai disolatkan disahkan positif Covid-19 dan terpaksa diarahkan  dibawa semula Hospital Rembau.

Sumber berkata, kejadian tersebut berlaku selepas waktu solat Asar, semalam iaitu selepas jenazah wanita berusia lewat 50-an itu selesai disolatkan oleh ahli keluarga serta penduduk di masjid di perkampungan berkenaan.

Menurut sumber itu lagi, wanita itu disahkan meninggal dunia kira-kira tengah hari semalam di hospital selepas dibawa ke hospital oleh suaminya sehari sebelum Aidiladha.

“Allahyarham mengadu sakit di bahagian dada dan dikejarkan ke hospital oleh suaminya. Wanita itu ditahan di wad bagi mendapatkan rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia pada tengah hari semalam.

“Ujian calitan saringan Covid-19 arwah negatif pada mulanya dan jenazah dibenarkan dibawa pulang. Namun, setelah selesai disolatkan, pemandu van jenazah mendapat panggilan daripada pihak hospital yang mengarahkan untuk membawa semula jenazah ke hospital susulan jenazah positif Covid-19 melalui keputusan kedua ujian calitan berkenaan,” katanya hari ini.

Sumber berkata, Allahyarham selesai dikebumikan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi kematian membabitkan kes Covid-19 pada malam semalam.

Menurutnya, untuk rekod, di perkampungan berkenaan belum terdapat catatan kes membabitkan Covid-19.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), Mohamad Najib Mustafa ketika dihubungi menyatakan kes berkenaan kini dalam tindakan pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan kesemua kontak rapat akan menjalani ujian calitan saringan Covid-19. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN