fbpx

7 Disember 2021, 9:09 am

  TERKINI

JDT pasukan pertama robek gawang Nagoya di ACL

PEMAIN Sayap JDT, Ramadhan Saifullah cuba melepasi kawalan pertahanan Nagoya Grampus dalam aksi kelima kumpulan G ACL 2021-IHSAN FB JOHOR Southern Tigers
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Johor Darul Ta’zim (JDT) muncul pasukan pertama yang berjaya merobek gawang gol Nagoya Grampus apabila dibolosi buat kali pertama selepas kebal dalam empat perlawanan sebelum ini.

Bagaimanapun, pencapaian itu tidak membantu JDT untuk mara ke pusingan 16 terbaik selepas tewas 2-1 kepada kelab gergasi Jepun itu pada aksi kelima Kumpulan G saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Rajamangala, Bangkok sebentar tadi.

Keputusan itu memberi kekalahan ketiga berturut-turut dialami juara Liga Super tujuh musim berturut-turut itu dalam kempen ACL selepas tewas dua kali kepada jaguh Korea Selatan, Pohang Steelers.

Keputusan pengendali JDT, Benjamin Mora melakukan rombakan dengan menyenaraikan beberapa muka baharu dalam kesebelasan utama seperti penjaga gol, Haziq Nadzli, bek tengah, Adam Nor Azlin dan penyerang, Ahmad Hazwan Bakri nyata tidak menghampakan.

Namun, keputusan Adam melakukan kekasaran terhadap penyerang Nagoya, Mateus Castro dalam kotak penalti menyebabkan skuad Harimau Selatan ketinggalan seawal minit keempat.

Mateus tidak berdepan masalah menyempurnakan sepakan penalti untuk menewaskan penjaga gol JDT, Haziq.

Gawang bekas juara Piala AFC 2015 itu dibolosi sekali lagi dan kali ini menerusi gol cantik dihasilkan pemain sayap Nagoya, Hiroyuki Abe yang melakukan rembatan lencong daripada luar kotak penalti pada minit ke-28.

Skuad Harimau Selatan yang jelas bermain di bawah tekanan, lebih banyak mengusai permainan dan hasilnya mereka berjaya merapatkan jurang jaringan menerusi ledakan Ramadhan Saifullah pada minit ke-42.

Gol Ramadhan itu adalah jaringan pertama yang dibolosi Nagoya sejak tewas 0-1 kepada Vegalta Sendai dalam saingan Liga Jepun pada 26 Mei lalu.

KEMASUKAN Syafiq Ahmad gagal untuk membantu JDT mendapatkan gol tambahan untuk sekurang-kurangnya meraih satu mata.

Hazwan hampir memberi gol penyamaan buat JDT pada minit ke-62 namun rembatan kencang itu sekadar menggegar gawang gol Nagoya meskipun penjaga golnya, Mitchell Langerak telah tertewas.

Walaupun menguasai permainan namun skuad Harimau Selatan gagal untuk menambah jaringan menyaksikan kedudukan kekal sehingga wisel penamat ditiupkan.

JDT kini menduduki tangga ketiga Kumpulan G dengan tiga mata di belakang Nagoya dan Pohang.

Jaguh Malaysia itu akan melengkapkan aksi kumpulan G kempen ACL musim ini menentang wakil Thailand, Ratchaburi FC pada 7 Julai ini.

Dalam satu lagi aksi kumpulan G menyaksikan Ratchaburi FC berjaya mengikat Pohang Steelers tanpa jaringan.

POPULAR

KOSMO! TERKINI

BERITA BERKAITAN