PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, amalan berzikir mengingati Allah sangat dituntut bukan sahaja untuk mengukuhkan aspek kerohanian, tetapi seiring sikap bertawakal kepada-Nya setelah melaksanakan pelbagai ikhtiar dalam mendepani ujian pandemik Covid-19 ketika ini.
Beliau berkata, sebagai insan beriman harus meyakini wabak itu adalah ujian Allah kepada manusia, maka apa yang dianjurkan Islam ialah agar bersabar dan reda dan tidak berputus asa dalam mencari ikhtiar penyelesaian menamatkan pandemik ini.
Justeru kata beliau, sebagai manusia biasa harus berusaha untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta memastikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang rancak berjalan di seluruh negara juga dapat menjadi ikhtiar melindungi rakyat daripada ancaman wabak.
“Kesungguhan yang ditunjukkan petugas barisan hadapan dan dibantu pelbagi pihak, penjawat awam, NGO, pihak swasta pasukan keselamatan mahu pun orang perseorangan dalam menyalurkan segala bentuk bantuan kepada mereka yang memerlukan merupakan bukti perpaduan utuh meskipun dalam keadaan sukar ini.
“Saya doakan semangat kerjasama dan perpaduan ini dapat dipertingkatkan. Saya doakan Allah mengurniakan ketenangan dalam kehidupan seharian agar kita dapat sama-sama keluar daripada krisis akibat wabak Covid-19 dengan segera dan dapat kembali menjalani kehidupan dengan lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap selepas menyertai secara maya Program Malaysia Berzikir menerusi slot rancangan Forum Perdana Ehwal Islam yang disiarkan menerusi TV1 dan siaran langsung Facebook Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), malam tadi.
Muhyiddin pada masa sama memanjat kesyukuran kepada Allah atas limpah kurnia dapat bersama mengikuti majlis berkenaan yang merupakan kesempatan berharga untuk sama-sama bermuhasabah atas ujian wabak Covid-19 yang sedang melanda negara.
“Kita bermunajat dan memohon kepada Allah agar beroleh pengampunan, kekuatan dan kesabaran dalam melalui hari-hari mencabar,” katanya.
Program Malaysia Berzikir turut disertai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Al-Bakri dan Timbalannya, Datuk Ahmad Marzuk Shaary serta Ketua Pengarah Jakim, Datuk Abdul Aziz Jusoh.
Aluan zikir itu dipimpin Imam Besar Masjid Putra, Putrajaya, Ikmal Zaidi Hashim bersama tiga lagi imam besar masjid utama negara.
Program anjuran Jakim itu adalah sebagai kesinambungan usaha dan ikhtiar Malaysia dalam menghadapi pandemik Covid-19 di negara ini.
Sejurus selepas program tersebut, Perdana Menteri turut menyertai rancangan Forum Perdana Ehwal Islam bertajuk Menginsafi Hikmah dengan perbincangan bersama panel-panel yang diundangi iaitu Pakar Motivasi, Datuk Dr. Mohd. Fadhilah Kamsah; Pensyarah Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail dan pendakwah, Muhammad Ashraf Ridzuan.










