SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan penghargaan khas kepada petugas barisan hadapan dan sukarelawan yang bertugas di hospital serta pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negeri ini ketika Aidiladha lalu.
Menerusi kenyataan menerusi Facebook Selangor Royal Office, baginda berbangga dengan kegigihan pihak berkenaan dalam usaha mempercepatkan suntikan vaksinasi kepada rakyat dan mendoakan pengorbanan mereka mendapat ganjaran setimpal.
“Sehingga 21 Julai lalu (kelmarin), kadar vaksinasi rakyat Selangor yang memperoleh satu dos suntikan telah mencecah 46.9 peratus atau 2.95 juta dos manakala sebanyak 15.27 peratus rakyat sudah melengkapkan dos vaksinasi masing-masing.
“Kadar vaksinasi Covid-19 di Selangor perlu diperluas bagi mengurangkan kadar kematian yang mencecah 84 kematian sehari (kelmarin),” titah baginda.
Pada masa sama, baginda menyeru umat Islam menghayati dan memahami intipati Khutbah Aidiladha yang memberi penekanan kepada mengukuh perpaduan serta persaudaraan ummah.
“Khutbah Aidiladha bertajuk ‘Persaudaraan Umat Islam : Pengalaman Ibadah Haji dan Korban’ disampaikan oleh khatib pada 20 Julai lalu.
“Antara yang boleh diambil iktibar ialah matlamat pelaksanaan ibadah haji dan korban yang mengajar kita terus mengukuhkan persaudaraan dalam kalangan umat Islam.
“Ibadah haji menuntut umat Islam dari pelbagai negara, bangsa dan warna kulit berkumpul bersama-sama sebagai satu jemaah dengan satu tujuan iaitu semata-mata mahu mengabdikan diri kepada Allah,” titah baginda.
Sultan Selangor bertitah, hukum melaksanakan ibadah korban merupakan sunat muakkad, yang bertujuan mendekatkan diri kepada Allah.
“Ibadah ini mengajar kita untuk saling bermuafakat, membantu antara satu sama lain dan mengukuhkan persaudaraan.
“Firman Allah menerusi surah Al-Hujurat ayat 10, ‘sebenarnya orang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat,” titahnya.
Baginda mengingatkan pesanan Rasulullah SAW yang pernah bersabda supaya jangan saling membenci, mendengki dan bermusuhan.
“Jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal bagi seorang Muslim tidak bertegur saudaranya lebih daripada tiga hari.
“Semoga kita sentiasa berada dalam ikatan persaudaraan yang kukuh, hidup aman damai dan harmoni agar dapat menjadi benteng daripada serangan musuh Islam,” titah baginda.