Imam kekok, gementar kali pertama sembelih dua ekor lembu - Utusan Malaysia

Imam kekok, gementar kali pertama sembelih dua ekor lembu

AHMAD NAZREE Shahbudin sedang memulakan sembelihan seekor ternakan lembu di sebuah tempat penyembelihan di Kampung Kuala Telang di Lipis, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Seorang Imam Masjid Ar-Rahman Kampung Kuala Telang dekat sini,kekok dan gementar apabila pertama kali diminta menyembelih dua ekor lembu sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

Bercakap kepada Utusan Online, imam tersebut, Ahmad Nazree Shahbudin, 38, berkata, dia menggantikan tugas seorang ahli jawatan kuasa masjid itu yang setiap tahun mengendalikan urusan penyembelihan untuk majlis korban.

“Walaupun saya tahu amalan syariat Islam serta teknik menyembelih, tetapi apabila pertama kali dipanggil untuk tugas menyembelih perasaan kekok dan gementar juga tiba-tiba muncul.

“Namun setelah mendengar ahli jawatankuasa masjid dan petugas bertakbir dan bertahmid, perasaan ini terus lenyap dan sembelihan dapat disempurnakan,” katanya di Kampung Kuala Telang di sini hari ini.

Menurut Ahmad Nazree, sembelihan dua ekor ternakan itu disempurnakan di kawasan yang mendapat kebenaran Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan dipantau oleh pihak berkuasa.

“Petugas yang melapah dan mengagihkan daging termasuk jawatankuasa masjid telah menjalani ujian calitan sehari sebelum Aidiladha seperti mana yang dikuatkuasakan oleh JAIP dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) di bawah pematuhan Peraturan Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Beliau berkata, semua daging korban akan disumbangkan kepada golongan asnaf serta 50 buah keluarga yang terjejas pendapatan dalam tempoh penguatkuasaan PKP oleh ahli jawatankuasa masjid dan sukarelawan Pemuda UMNO Lipis. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN