PETALING JAYA: Khutbah Aidiladha mengingatkan semua pemimpin dan rakyat Malaysia untuk menghentikan percakaran sesama sendiri sebaliknya menumpukan sepenuh usaha serta tindakan dalam mengekang penularan Covid-19.
Menurut teks khutbah disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), semua pihak seharusnya bersimpati terhadap rakyat dan bukannya bersikap tamak kerana perbuatan itu akhirnya rakyat menjadi mangsa.
“Hentikanlah percakaran yang sia-sia. Bagaimanakah Allah SWT mahu memperkenankan doa kita dan menurunkan rahmatnya selagi mana kita masih lagi bergelumang dengan dosa, kemaksiatan dan perpecahan?,” tegas khutbah itu yang bertajuk ‘Cabaran dan Pengorbanan’.
Justeru, khutbah menjelaskan meskipun Hari Raya Aidiladha disambut dalam suasana pandemik Covid-19, namun ia tidak menghalang semua umat Islam untuk menyambutnya dengan penuh kesyukuran di samping memuji kebesaran Allah.
Khutbah juga mengesa umat Islam menjaga diri dan kesihatan memandangkan perayaan Aidiladha masih lagi disambut dalam suasana mencabar dan kawalan pergerakan yang masih lagi diteruskan berikutan bilangan kes harian masih tinggi dan tidak menentu.
Dalam pada sama, khutbah memaklumkan ketika rakyat masih berjuang melawan pandemik Covid-19, masyarakat juga berhadapan bermacam bentuk cabaran dan pastinya ramai yang terkesan daripada sudut ekonomi, psikologi dan mental, pendidikan, bahkan suhu politik negara juga ada pasang surutnya.
“Seharusnya kita sedar bahawa manusia merupakan makhluk yang tidak mampu hidup sendiri. Manusia merupakan makhluk yang memerlukan orang lain dalam banyak perkara.
“Maka ketika kita ada kelebihan rezeki dan boleh berkorban, alangkah baiknya jika kita tidak menunda-nunda lagi. Yakinlah saudaraku, bahawa korban kita akan diterima Allah dan akan dilipatgandakan pahalanya kerana membantu orang lain yang sedang mengalami kesusahan dan kedukaan.
“Selain itu, teruskanlah bertaubat dan bermunajat memohon kepada Allah agar segera diangkat wabak dan musibah ini kerana hanya Allah jua yang Maha Berkuasa di atas tiap-tiap sesuatu dan hanya dia yang Maha Mengabulkan doa hamba-hambanya,” jelas khutbah itu.
Khutbah kemudian menyeru umat Islam tidak bersedih dan terus berdoa agar Allah segera mengangkat wabak ini agar kita dapat melaksanakan segala syariatnya.










