PETALING JAYA: Polis Selangor mengesahkan tiada sebarang siasatan akan dilakukan pihaknya berhubung protes melibatkan doktor kontrak yang diadakan di beberapa hospital di sekitar Selangor hari ini.
Memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, tiada sebarang kertas siasatan atau tindakan akan diambil setakat ini.
“Tiada kertas siasatan dibuka setakat ini,” katanya ringkas.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, sebarang perihal berkenaan doktor kontrak berkenaan lebih baik sekiranya dirujuk kepada jabatan atau kementerian berkaitan.
Jelas beliau, tiada sebarang kenyataan akbar akan dibuat oleh Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman berkenaan perkara itu.










