SEPANG : Kelonggaran bagi individu lengkap dua dos vaksin yang akan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) minggu ini amat dinanti-nantikan termasuk pertimbangan pembukaan sektor sukan bagi membolehkan industri itu beroperasi semula.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, beliau yakin dan optimis kelonggaran terhadap sektor sukan tidak terkecuali daripada diberikan kepada individu lengkap suntikan vaksin.
“Kita sedia maklum Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini memaklumkan bahawa perkara itu (kelonggaran) diumumkan selepas Hari Raya Haji, mungkin dalam minggu ini.
“Kita nak buka gimnasium semula, begitu juga penganjuran program dan liga-liga tertentu namun bergantung kepada jumlah pemberian vaksin dan saya lihat pemberian vaksin di sekitar Lembah Klang amat menggalakkan. Jadi ini mungkin ada tumpuan khusus selepas ini,” katanya. dalam sidang akhbar selepas membuat lawatan kerja di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Movenpick, di sini hari ini.
Sungguhpun begitu, berkaitan kelonggaran tersebut juga, Wan Ahmad Fayhsal berkata, buat masa ini belum lagi diputuskan kebenaran kehadiran penyokong di stadium.
“Bagaimanapun, kita akan bincang dengan MKN mengikut keadaan semasa, mungkin negeri yang kes tidak tinggi dibolehkan kehadiran penonton dalam peratusan tertentu.
“Begitupun, di Kuala Lumpur dan Selangor saya merasakan tidak boleh lagi sebab kes Covid-19 masih tinggi,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau berkata, setakat ini tiada kes jangkitan Covid-19 membabitkan atlet Malaysia yang menyertai temasya Olimpik di Tokyo, Jepun.
Menurutnya, kementerian mengambil maklum pertambahan sembilan kes positif membabitkan temasya itu semalam namun setakat ini tidak ada sebarang pengumuman berkaitan pembatalan temasya sukan terbesar dunia itu.
“Mungkin ada sedikit kerisauan daripada pihak penganjur yang tidak menolak temasya itu mungkin dibatalkan pada saat-saat akhir seandainya kes Covid-19 terus meningkat.
“Namun, kita belum tahu lagi, dan akan mengikut sahaja kerana tiga hari lagi acara perasmian akan berlangsung. Meskipun kes meningkat, ada pegawai Malaysia memantau keadaan atlet kita di sana,” katanya. – UTUSAN ONLINE