Harap dapat kembali cari rezeki di Singapura - Utusan Malaysia

Harap dapat kembali cari rezeki di Singapura

HASNI Mohammad (kanan) meninjau keadaan semasa Program Vaksinasi di bawah Johor ImmuPlan di PPV Persada, Johor Bahru, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Inisiatif kerajaan negeri memberi vaksin di bawah program Johor ImmuPlan yang mengutamakan petugas barisan hadapan ekonomi dan rakyat yang bekerja di Singapura dipuji.

Rata-rata mereka menghargai usaha tersebut yang disifatkan dapat mempercepat imuniti kelompok bagi membolehkan perbincangan membuka kembali sempadan Malaysia-Singapura disegerakan.

Salah seorang penerima, K. Kanmani, 33, berkata, dia berharap pelaksanaan program itu akan dapat membantu mempercepat pembukaan semula sempadan khususnya bagi tujuan pekerjaan.

Katanya, sejak pandemik Covid-19 melanda, dia terpaksa berhenti kerja di Singapura untuk menjaga anak di Johor Bahru kerana tidak dibenarkan berulang-alik ke negara jiran itu.

“Sebelum ini, saya terpaksa menunggu giliran menerusi aplikasi Mysejahtera namun menerusi program ini, saya mendapat vaksin lebih awal dan berharap dapat kembali untuk bekerja secepat mungkin.

“Program vaksinasi ini juga sangat membantu rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura berikutan ia dapat menjimatkan kos untuk urusan kuarantin sekiranya dibenarkan masuk ke Singapura,” katanya ketika ditemui hari ini.

Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad meninjau pemberian vaksin di bawah program Johor ImmuPlan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R. Vidyananthan dan Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr. Aman Rabu.

Pelaksanaan program Johor ImmuPlan melibatkan 100,000 dos vaksin Covid-19 yang bermula semalam khusus buat rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.

Seorang lagi penerima, Nor Fazlina Hamdan, 34, pula memberitahu, mereka berterima kasih kepada kerajaan negeri Johor yang memperkenalkan inisiatif tersebut.

“Setelah menerima suntikan vaksin, saya berharap untuk kembali mendapat kerja di Singapura dan saya juga berharap program ini diperluas kepada lebih ramai pihak lagi,” katanya yang bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan di Singapura sebelum ini.

Sementara itu, ujar Hasni, pelaksanaan inisiatif itu akan ditambah baik dari masa ke semasa bagi memastikan ia mencapai sasaran untuk petugas barisan hadapan ekonomi di negeri ini.

Kata beliau, antara fokus utama pihaknya melalui program itu adalah memastikan lebih ramai individu menerima vaksin di bawah Johor ImmuPlan.

“Ini termasuk usaha menyediakan lebih banyak bekalan vaksin di bawah program tersebut kerana Johor ImmuPlan bertujuan membantu barisan hadapan ekonomi Johor termasuk pekerja Malaysia dengan permit kerja sah di Singapura selain memiliki surat tawaran kerja atau surat majikan di Singapura,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN