PUTRAJAYA: Kedudukan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak akan runtuh kerana tindakan menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah parti bukannya ahli Parlimen UMNO.
Timbalan Ketua UMNO bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, justeru, tiada impak yang akan berlaku ke atas kerajaan kerana ia dibentuk oleh ahli-ahli Parlimen.
Menurut beliau, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ternyata gagal memaksa ahli-ahli Parlimen dan anggota Kabinet UMNO untuk menarik sokongan serta meletak jawatan.
Malah, katanya, ramai ahli-ahli Majlis Tertinggi (MT) dan pemimpin-pemimpin UMNO Bahagian masih pegang jawatan dalam kerajaan, syarikat milik kerajaan (GLC) selain jawatan-jawatan di pelbagai agensi dan pihak berkuasa tempatan (PBT) walaupun ada dalam kalangan mereka paling kuat menghentam kerajaan.
“Bukan sahaja #PresidenGagal paksa mereka letak jawatan, malah UMNO bersetuju ambil dua lagi jawatan, iaitu Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tun Faisal berkata, ada dalam kalangan penyokong parti pula menghasut Presiden supaya memecat ahli-ahli Parlimen yang tidak mengikut arahan beliau.
Beliau menjelaskan, sekiranya Presiden berbuat demikian, secara automatiknya UMNO akan hilang 33 kerusi Parlimen dan UMNO hanya akan ada lima kerusi Parlimen.
“Itu pun Pasir Salak (Ahli Parlimen) kata KIV, jadi #PresidenGagal hanya ada empat kerusi Parlimen termasuk kerusi beliau sendiri. Hanya tiga orang daripada 38 ahli Parlimen sahaja yang sokong Presiden.
“Jika #PresidenGagal hanya ada tiga kerusi, maka beliau tiada pilihan lain melainkan sertai ‘cikgu’ dia kalau nak cukupkan nombor, itu pun belum tentu Parti Warisan dan Pejuang nak. Pada ketika Tun M dan Shafie Apdal tengok mereka nak join Pakatan Harapan, rasanya Warisan dan Pejuang mungkin lompat sertai PN,” katanya.
Beliau berkata, tindakan UMNO terlalu mendesak Parlimen diadakan juga bukanlah semata-mata mahu membela rakyat, tetapi ada udang di sebalik batu iaitu mahu menggunakan platform Parlimen untuk membuat undi tidak percaya.
“Sudah-sudahlah, hentikan politiking merebut kuasa ketika pandemik Covid-19 ini, tumpukan perhatian menyelamatkan nyawa rakyat, memerangi Covid-19, memvaksinkan rakyat dan memulihkan semula negara,” katanya.
Semalam, Ahmad Zahid mengumumkan parti itu menarik sokongan daripada Kerajaan PN.
Susulan itu, beliau mendesak Muhyiddin berundur daripada jawatan Perdana Menteri secara terhormat setelah kepemimpinan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu gagal menguruskan negara yang dilanda pandemik Covid-19 serta menjaga kebajikan rakyat. – UTUSAN ONLINE