PETALING JAYA: Hanya mereka yang masih gila berpolitik mendakwa Malaysia gagal menangani wabak Covid-19.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pihak yang membuat dakwaan tersebut juga secara jelas menunjukkan nafsu politik angkuh yang terlalu tinggi dan rakus mahu berkuasa.
Beliau yang membidas Pakatan Harapan (PH) selepas gagal menunaikan janji dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 ( PRU-14) sebelum ini turut berkata, kenyataan tersebut menggambarkan pihak terbabit seolah-olah berada dalam dunia lain.
“Mereka masih ingin mengaku boleh menyelesaikan semua masalah dalam sekelip mata sahaja sehingga sanggup merempuh keadaan paling mencabar yang masih dihadapi oleh mereka yang berada di barisan hadapan.
“Pasukan barisan hadapan berusaha penuh gigih dengan mengambil langkah pencegahan khususnya meningkatkan jumlah suntikan vaksin dengan seluas-luasnya bagi menyelamatkan rakyat, serta memberikan kefahaman akan kepentingannya kepada seluruh rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, tindakan mengeluarkan kenyataan sedemikian seperti tidak bersyukur dengan pengorbanan yang dilakukan dalam memerangi wabak ini.
Malah, Abdul Hadi berkata, menggambarkan pihak yang berani mencabar tanggungjawab pihak lain seperti orang buta memarahi individu lain yang menolongnya untuk menyeberangi jalan yang sibuk dan lalu lintas yang berbahaya.
“Sepatutnya berterima kasih kerana ada orang yang menolongnya, tetapi dibalas dengan maki hamun, seolah-olah tiada pertimbangan akal yang sihat, sudahlah matanya pula buta,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE