BALIK PULAU: Seorang pemilik butik menjadikan aktiviti mengemas butik pengantin miliknya di sini sebagai satu terapi bagi membolehkannya terus bersemangat mengekalkan perniagaan walaupun berdepan pelbagai kesukaran ketika ini.
Ratna Emilia Ramlan, 35, berkata, pada masa ini dia melihat banyak rakan-rakan pengusaha butik yang terpaksa menutup operasi akibat tekanan ekonomi berpanjangan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Katanya, dia seboleh-bolehnya masih belum mahu mengibarkan ‘bendera putih’ dan cuba bertahan sehingga butik De Mia Emylia Bridal miliknya yang terletak di Greenville, di sini dapat beroperasi semula.
“Setiap hari walaupun butik tidak dibuka, saya tetap datang dan membersihkan habuk, mengemas baju serta peralatan.
“Sekurang-kurangnya dengan melihat apa yang ada di dalam butik dapat suntik semangat saya untuk terus kekal bertahan dalam bidang yang saya sangat minat ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurutnya, meskipun dalam situasi tidak menentu akibat pandemik Covid-19, namun ada pelanggannya yang telah menyerahkan deposit untuk melaksanakan majlis perkahwinan mereka pada November dan Disember ini.
“Saya bertahan sebab ada permintaan daripada pelanggan yang telah lama kenal dan percaya dengan perkhidmatan saya.
“Saya harap majlis sosial dan aktiviti perkahwinan dapat dibenarkan untuk diadakan tidak lama lagi sekiranya kes Covid-19 dapat dibendung,” katanya.
Tambahnya, majlis akad nikah pada masa ini dibenarkan diadakan di pejabat agama daerah dan dia berharap pihak berkuasa dapat membenarkan pengantin untuk mengambil pakej bergambar di dalam butik pengantin.
“Ada sesetengah butik menyediakan pelamin dan mana-mana pasangan pengantin yang selesai menjalani akad nikah boleh bergambar di situ untuk membantu perniagaan kami,” katanya.
Dalam pada itu Ratna Emilia berkata, dia dan para pengusaha butik pengantin juga memohon kerajaan menawarkan geran khas kepada mereka bagi membolehkan perniagaan dikekalkan sepanjang PKP.
“Perniagaan lain ada geran khas, tetapi bagi pengusaha butik pengantin dan spa kecantikan tiada geran yang kami boleh pohon, jadi kami harap ada geran untuk bantu perniagaan kami,” katanya. – UTUSAN










