Gengster sambut hari jadi di kedai perabot kena kompaun - Utusan Malaysia

Gengster sambut hari jadi di kedai perabot kena kompaun

KESEMUA suspek berusia 20 hingga 50 tahun ditahan dalam beberapa siri tangkapan di sekitar Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Keseronokan 13 lelaki termasuk beberapa individu dipercayai ahli kongsi gelap menyambut hari jadi secara rahsia di sebuah kedai perabot di Taman Merdeka Jaya di sini, terbongkar apabila kesemua mereka ditahan dan dikompaun sebanyak RM26,000, hari ini.

Kesemua suspek berusia 20 tahun hingga 50 tahun itu ditahan dalam beberapa siri tangkapan di sekitar negeri ini sejak petang semalam hingga awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Mohd. Sukri Kaman berkata, acara tersebut dilakukan pada Isnin lalu, namun terbongkar selepas polis menerima laporan mengenainya menerusi satu klip video berdurasi tiga minit 54 saat, semalam.

Katanya, susulan itu sepasukan pegawai serta anggota daripada Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka telah membuat beberapa siri tangkapan di bawah Op Cantas.

“Polis mengesan kesemua 13 individu yang terlibat dan membuat tangkapan di sekitar negeri ini bermula petang semalam sehingga awal pagi tadi.

“Tindakan kompaun keseluruhan sebanyak RM26,000 telah dikenakan terhadap suspek mengikut Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Sukri menambah, hasil risikan mendapati, sebahagian individu yang ditahan juga dipercayai merupakan ahli kongsi gelap.

“Di penghujung rakaman video tersebut terdapat dua lelaki telah menunjukkan isyarat tangan yang mempunyai unsur-unsur kongsi gelap semasa memotong kek hari jadi berkenaan.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 50 (3) dan 52 (3) Akta Pertubuhan 1966 kerana membabitkan diri dalam aktiviti kumpulan kongsi gelap,” jelasnya.

Kesemua suspek dibebaskan dengan jaminan polis selepas rakaman percakapan selesai dijalankan. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya