GERIK: Seekor gajah liar yang memusnahkan tanaman penduduk di Felda Bersia Timur di sini, ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) kelmarin.
Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, gajah jantan berusia antara 18 hingga 20 tahun dengan berat dianggarkan dua tan metrik itu ditangkap pada pukul 10 pagi di kawasan ladang kelapa sawit.
Katanya, operasi menjejaki mamalia oleh Unit Tindakan Gajah Negeri (UTG) Perak itu mengambil masa tiga jam bermula pukul 7 pagi.
“Gajah jantan itu ditangkap susulan aduan oleh penduduk yang diterima Pejabat Perhilitan Daerah Gerik pada 13 Julai lalu berhubung kerosakan yang dilakukan haiwan itu melibatkan tanaman pisang, kelapa dan kelapa sawit.
“Haiwan itu yang diberi nama Yob Daha akan dipindahkan ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah di Pahang esok,” katanya di sini hari ini.
Katanya, operasi memindahkan haiwan itu bermula pukul 8 pagi dengan membabitkan 15 kakitangan pusat konservasi tersebut dibantu lapan kakitangan Perhilitan Perak.
Katanya, dua ekor gajah denak iaitu Rambai dan Abot akan digunakan bagi ‘memujuk dan menenangkan’ Yob Daha untuk bergerak menaiki lori dan di bawa ke destinasi berikutnya.
“Yob Daha akan dipindahkan ke Taman Negara dan diharap dapat memulakan kehidupan baru di sana dengan lebih selesa,” katanya. – UTUSAN ONLINE










