PUTRAJAYA: Pengekalan penarafan bagi Malaysia oleh Fitch Ratings membuktikan daya tahan ekonomi negara dalam persekitaran tidak menentu, prospek dan asas pertumbuhan jangka sederhana yang kukuh.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ini termasuk dibuktikan lebihan akaun semasa yang stabil disokong kepelbagaian pasaran dan produk eksport.
Menurut beliau, Malaysia secara konsisten mencatatkan lebihan akaun semasa sepanjang dua dekad dengan lebihan akaun semasa terbesar dicatatkan pada tahun lalu berjumlah RM184.8 bilion, bersamaan 4.2 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Kedudukan ini turut disokong rizab antarabangsa yang mencukupi, aset luaran bank dan korporat yang besar, serta kedudukan luaran mata wang asing bersih berjumlah RM1.1 trilion atau 77 peratus daripada KDNK pada akhir Mac lalu.
“Faktor-faktor ini disokong oleh polisi tukaran asing fleksibel, yang memperkuat keupayaan Malaysia berhadapan dengan kejutan luaran,” katanya.
Fitch Ratings mengekalkan penarafan terbitan jangka panjang Malaysia berdenominasi mata wang asing pada BBB+, dengan prospek stabil dengan pengekalan penarafan itu diberikan ketika dunia berhadapan dengan tindakan semakan semula penarafan luar jangkaan yang mana 101 prospek negatif diberikan menjelang akhir tahun lalu.
Tengku Zafrul berkata, pengekalan Malaysia dalam index FTSE Russell’s World Government Bond Index pula merupakan satu testimoni ke atas pasaran modal yang maju serta asas makroekonomi yang kukuh dan berdaya tahan.
Beliau menjelaskan, dalam menangani krisis pandemik Covid-19, Malaysia mengumumkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) iaitu satu strategi dinamik, fleksibel dan berpandangan ke hadapan berpandukan data dan sains.
Katanya, berlandaskan pendekatan secara menyeluruh bagi negara, kerajaan bekerjasama dengan pakar industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemimpin komuniti dan masyarakat umum dalam melaksanakan PPN.
“Pendekatan PPN yang sistematik mengimbangi keperluan untuk melindungi nyawa dan menjaga kelangsungan mata pencarian. Sejak pelaksanaan PPN pada 1 Jun lalu, lapan dari 14 negeri di Malaysia mencatat penurunan besar dalam kes baharu, seterusnya membolehkan mereka beralih ke fasa kedua sejak minggu lalu yang mana lebih banyak sektor ekonomi dan aktiviti sosial dibenarkan di bawah pematuhan SOP ketat.
“Demi melindungi rakyat dan sektor perniagaan, sejak bermulanya pandemik ini bantuan berterusan diberikan melalui pelaksanaan lapan pakej rangsangan dan bantuan kerajaan bernilai RM530 bilion dan juga Bajet tahunan bernilai RM322.5 bilion bagi tahun 2021,” katanya.
Menurut Tengku Zafrul, di bawah langkah-langkah Bajet 2021 dan pakej-pakej bantuan itu, RM300 bilion masih boleh dibelanjakan bagi menyokong pemulihan ekonomi, terutamanya ketika melalui pelbagai fasa PPN.
Sehingga kini, katanya, pemantauan berterusan oleh Agensi Pelaksanaan Ekonomi Dan Koordinasi Strategik Nasional (LAKSANA) di bawah Kementerian Kewangan menunjukkan pakej rangsangan ekonomi dan bantuan tersebut telah menyelamatkan 2.8 juta pekerjaan, serta memanfaatkan lebih daripada 20 juta orang dan 2.4 juta perniagaan sejak Mac tahun lalu.
Beliau turut menambah, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) akan terus dipergiat bagi mempercepatkan pemulihan ekonomi dengan pendekatan fast-track vaksinasi, 100 peratus populasi dewasa dijangka divaksinasi penuh menjelang akhir Oktober ini.
Katanya, faktor lain yang mendorong pemulihan ekonomi negara termasuk permintaan luaran yang lebih baik oleh rakan dagang utama dan pelaksanaan projek infrastruktur dengan kesan pengganda yang tinggi.
Selain itu, katanya, ia termasuklah asas ekonomi negara yang kekal kukuh walaupun dalam situasi mencabar serta struktur ekonomi yang kukuh dan pelbagai.
“Khususnya, Fitch menyatakan bahawa sektor pembuatan dan eksport Malaysia akan terus memanfaatkan lonjakan permintaan global terhadap produk eksport negara seperti produk elektrik dan elektronik (E&E), minyak mentah dan peralatan perlindungan peribadi (PPE),” katanya.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, kerajaan kekal komited dalam memastikan kemapanan fiskal negara dan konsolidasi fiskal jangka sederhana.
Katanya, dalam tempoh sedekad lalu, defisit fiskal telah berjaya dikurangkan daripada 6.7 peratus (2009) daripada KDNK kepada 3.4 peratus (2019).
Berpandukan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana dan disokong pelaksanaan Strategi Hasil Jangka Sederhana secara berperingkat bertujuan meningkatkan dan mempelbagaikan asas hasil negara, jelasnya, kerajaan dapat meneruskan konsolidasi fiskal setelah negara pulih daripada pandemik ini.
Katanya, ini akan dapat mengimbangi keperluan fiskal jangka pendek dengan kemampanan fiskal dan ekonomi.
“Secara keseluruhannya, keutamaan kerajaan adalah melindungi kehidupan daripada ancaman Covid-19 selain memastikan prospek pertumbuhan ekonomi kekal kukuh dalam jangka sederhana dan panjang, disokong oleh PPN serta pengurusan kewangan yang berhemah.
“Kerajaan terus melaksanakan respon secara strategik, proaktif dan berkesan dalam suasana Covid-19 yang mencabar ini di samping meminimumkan kesan ekonomi yang berkekalan akibat pandemik,” katanya. – UTUSAN ONLINE