PUTRAJAYA: Delegasi Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia memaklumkan bahawa tiada halangan untuk rakyat negara ini memasuki mana-mana 27 negara anggota blok tersebut.
Menerusi kenyataan di ibu negara hari ini, EU menjelaskan, keperluan sijil digital blok itu yang dilancarkan awal bulan ini bukanlah dokumen wajib untuk merentasi negara-negara anggota.
Pensijilan berkenaan ujarnya, hanya untuk memudah cara pengembaraan sebagai bukti yang mereka sudah divaksin atau lulus ujian saringan negatif atau pulih daripada kes Covid-19.
“Justeru, Delegasi EU perlu menerangkan secara telus susulan banyak reaksi persoalan timbul berhubung tindakan oleh Agensi Perubatan Eropah (EMA) ke atas vaksin tertentu,” katanya.
Kenyataan itu merujuk beberapa laporan tular media tempatan baru-baru ini yang mendakwa EU kononnya melarang rakyat Malaysia masuk jika ada menerima vaksin dari negara tertentu.
Ia ekoran laporan penilaian Majlis EU pada 1 Julai lalu yang tidak meletakkan Malaysia dalam senarai 11 negara yang baharu dimasukkan untuk perjalanan bebas tanpa dikenakan visa.
Mengulas lanjut, Delegasi EU di Kuala Lumpur itu menegaskan, secara prinsip sesiapa sahaja dibenarkan masuk ke negara anggota blok ini walaupun cuma menerima satu dos imunisasi.
Ini termasuk mereka yang divaksin dari fasiliti negara tertentu yang tidak diperakui EU, namun ia sudah melengkapkan isu pentauliahan kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Oleh itu, laporan disiar pelbagai media baru-baru ini konon vaksin AstraZeneca dari beberapa negara yang tidak diiktiraf EMA sebenarnya adalah kurang tepat,” kata kenyataan tersebut.
Sebaliknya, negara anggota EU bebas menerima sebarang dokumentasi dikeluarkan negara ketiga untuk makluman data vaksinasi asalkan butiran dokumen itu lengkap dan bukan palsu.
Ia bagaimanapun masih bergantung kepada situasi semasa epidemiologi di negara terbabit yang mungkin peraturan bagi kemasukan warga asing itu boleh diubah mengikut keadaan terkini.
Sehubungan itu, rakyat Malaysia dinasihatkan agar menyemak terlebih dahulu garis panduan ditetapkan negara anggota EU tersebut yang dijangka berbeza mengikut keperluan mutakhir.
“Sijil Covid Digital EU hanyalah bersifat sebagai alat praktikal untuk pergerakan rentas negara selain boleh diselaraskan berdasarkan kesesuaian pihak berkuasa Malaysia kelak,” katanya. – UTUSAN ONLINE










