SEREMBAN: Empat individu termasuk seorang wanita diberkas anggota Polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai dalam tiga serbuan di Pulau Pinang, semalam hingga awal pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan, Superintenden Aibee Ab. Ghani berkata, tangkapan tersebut bagi membantu siasatan berhubung kes seorang juruteknik yang kerugian sebanyak RM470,000 selepas terpedaya dengan ahli sindiket Macau Scam, baru-baru ini.
Menurut beliau, dalam serbuan yang dilakukan dari pukul 9 malam hingga pukul 4 pagi tadi itu, seorang wanita berusia 22 tahun dan tiga lelaki termasuk seorang remaja berusia 16 hingga ditangkap.
“Tiga daripadanya beralamat di Pulau Pinang manakala seorang lagi iaitu remaja yang ditangkap beralamat di Sandakan, Sabah.
“Semua yang ditangkap akan dimohon tahanan reman hari ini di Mahkamah Seremban 2 dan siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Utusan Online pada Sabtu lalu melaporkan seorang lelaki berusia 57 tahun yang merupakan juruteknik kilang kerugian sebanyak RM470,000 selepas terpedaya dengan ahli sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). – UTUSAN ONLINE