Empat ahli sindiket dadah ditahan - Utusan Malaysia

Empat ahli sindiket dadah ditahan

KAMARUL Zaman Mamat (kanan) menunjukkan sebahagian daripada dadah yang dirampas di IPK Kedah di Alor Setar, Kedah. - UTUSAN/MOHD. RAFIE AZIMI 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR:  Polis menahan empat individu yang disyaki anggota sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah dalam serbuan di Pendang, dekat sini serta Bagan Ajam, Pulau Pinang pada Sabtu dan Ahad lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dalam dua serbuan tersebut, pihaknya merampas heroin base seberat kira-kira 2.25 kilogram (kg) bernilai RM195,000.

Katanya, dadah tersebut sekiranya diproses mampu menghasilkan bekalan untuk digunakan oleh kira-kira 10,000 penagih.

“Kita menahan tiga lelaki tempatan bersama heroin base tersebut dalam serbuan di sebuah bengkel di Kampung Lubuk Rambutan, Mukim Padang Pusing, Pendang kira-kira pukul 7 malam, Sabtu lalu.

“Seorang lagi lelaki  ditahan bersama wang tunai RM1,708 di Pantai Bersih dekat Bagan Ajam, Pulau Pinang kira-kira pukul 5.10 pagi, keesokan harinya,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.

Kamarul Zaman berkata, pihaknya turut menyita dua kenderaan jenis BMW dan Nissan Sentra bagi membantu siasatan.

Ujarnya, keempat-empat individu berkenaan yang berusia antara 36 hingga 49 tahun dipercayai daripada sindiket yang sama.

“Kesemua mereka didapati positif dadah jenis methamphethamine dan memiliki rekod lampau berkaitan dadah.

“Mereka direman selama tujuh hari bermula Ahad lalu dengan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Dalam pada itu beliau memaklumkan, pihaknya telah menahan seramai 7,485 individu yang terlibat dengan kesalahan berkaitan dadah di negeri ini sejak 1 Januari hingga 25 Julai lepas.

“Seramai 1,988 individu yang ditahan merupakan pengedar manakala 5,497 lagi adalah penagih dadah.

“Kita juga telah merampas dadah jenis heroin sebanyak 48.4 kg, 35.4 kg syabu, 278 kg ganja serta daun ketum seberat 38 kg dalam tempoh sama dengan nilai keseluruhan kira-kira RM3.1 juta,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya