KUALA NERUS: Atlet anak negeri berusia 22 dan 23 tahun dengan prospek pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) 2022 akan diberikan kenaikan elaun antara RM1,200 hingga RM1,500 sebulan, bermula tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, peningkatan lebih 100 peratus itu bagi memberikan suntikan semangat kepada golongan sasar dalam mengekalkan pencapaian dan kejuaraan.
Katanya, keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Badan Pengurus Sukan Kontinjen Terengganu baru-baru ini.
“Jumlah elaun diterima atlet ketika ini ialah RM650 dan pembayaran tetap diteruskan walaupun dalam tempoh pandemik Covid-19.
“Kita tidak pernah mengabaikan kebajikan atlet dan jurulatih,” katanya selepas menyerahkan Bakul Prihatin Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) kepada 100 atlet dan bekas atlet anak negeri yang terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di sini semalam.