Dua lelaki seludup ketum untuk cari duit sampingan

Dua lelaki seludup ketum untuk cari duit sampingan 

SHAMSUDIN Mamat (kiri) menunjukkan sebahagian daun ketum yang dirampas di SJR Jerai, Kupang, Baling, Kedah, hari ini. - FOTO/NORLIA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Hasrat dua lelaki mencari duit sampingan dengan mengambil upah menyeludup daun ketum ke Kelantan dengan mengguna lori tidak kesampaian apabila ditahan di sekatan jalan raya (SJR) di Jerai, Kupang, di sini hari ini.

Pemandu lori terbabit berusia 37 tahun dan penumpangnya berusia 20 tahun yang bekerja sebagai penjaga stor ditahan ketika mereka dalam perjalanan membawa 3,700 kilogram (kg) daun ketum dari arah Kupang di sini menghala ke Gerik, Perak pada pukul 12.10 pagi.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, hasil pemeriksaan menemui longgokan sebanyak 370 karung guni plastik lutsinar berwarna kuning berikat getah yang mengandungi daun-daun hijau disyaki daun ketum di ruang belakang lori jenis Hino itu.

“Berat keseluruhan daun ketum yang dirampas itu dianggarkan sebanyak 3,700 kg,” katanya pada sidang akhbar di IPD Baling di sini hari ini.

Difahamkan daun ketum tersebut cuba diseludup ke Kelantan dengan bayaran upah sebanyak RM1,000 bagi satu perjalanan.

“Upah sebanyak RM5,000 dibayar sebelum bertolak dan baki bayaran RM5,000 lagi dibayar setelah mereka sampai ke destinasi yang diarahkan.

“Mereka mengambil upah menghantar daun ketum itu setelah selesai menghantar barangan syarikat tempat mereka bekerja dan dalam perjalanan pulang ke Johor, mereka mengambil upah menghantar daun ketum itu ke Kelantan,” ujarnya.

Menurutnya, ujian saringan awal air kencing ke atas mereka mendapati negatif daripada sebarang salah guna dadah dan tiada kesalahan jenayah lampau.

Tambahnya, kedua-dua lelaki itu direman empat hari mulai hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

“Mereka turut dikenakan denda sebanyak RM5,000 setiap seorang atas kesalahan Perkara 5(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) Pelan Pemulihan Negara (PPN) 2021.

Beliau memberitahu, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan pada 1 Jun 2021 hingga kini, pihaknya telah merampas sebanyak 7,000 kg daun ketum dalam enam siri tangkapan dan rampasan di SJR Jerai di sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN