PETALING JAYA: Dua ejen perjudian dalam talian ditahan di sekitar daerah Sentul, dekat sini semalam.
Serbuan bermula pukul 5 petang itu dijalankan Cawangan Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, siasatan mendapati kedua-dua lelaki berusia 45 dan 70 tahun itu adalah ejen ‘ Top Up Games’ yang bergiat aktif di sekitar Kepong sejak dua bulan lalu.
“Mereka beroperasi di sekitar tepi jalan dan kaki lima deretan kedai menggunakan telefon bimbit untuk membuat transaksi.
“Sebagai ejen top up, mereka akan menerima gaki setiap bulan dan hasil jualan akan dikutip individu lain yang kini telah dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Eng Lai, polis turut merampas dua telefon bimbit, dua kad sim dan wang tunai RM135.
Ujarnya, kedua-dua tangkapan kini ditahan untuk siasatan lanjut.
“Kes dijalankan di bawah Seksyen 4 (1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana terbabit dalam judi dalam talian.
“Orang ramai dinasihatkan tidak melibatkan diri dalam kegiatan ini dan sekiranya mempunyai maklumat boleh disalurkan kepada Bilik Gerakan IPD Sentul di 03-40482206,” ujar beliau.- UTUSAN ONLINE