PETALING JAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu bertanggungjawab atas dakwaan sengaja berbohong kepada Parlimen berkenaan pembatalan ordinan darurat dengan untuk meletakkan jawatan.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, malah Kabinet Muhyiddin juga sama perlu meletak jawatan.
Menurut ahli Parlimen Langkawi itu, walaupun Muhyiddin tidak membuat pengumuman berkenaan pada Isnin lalu, beliau perlu bertanggungjawab terhadap kenyataan dibuat Menteri di Jabatan Perdana (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
“Beliau tidak berusaha memperbaikinya ketika Takiyuddin membuat pengumuman atau menghentikan Takiyuddin walaupun duduk tepat di depannya. Muhyiddin juga tidak membuat penjelasan pada hari berikutnya.
“Oleh itu, Tan Sri Muhyiddin bertanggungjawab di atas tindakan memalukan ini dan juga anggota kabinet yang lain. Beliau harus meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan anggota kabinet mesti mengikutinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan dibuat di Parlimen bahawa kerajaan membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan.
Datuk Pengelola Bijaya Istana Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, ini sedangkan, pembatalan semua Ordinan Darurat belum mendapat perkenan daripada Seri Paduka.
Beliau berkata, Seri Paduka turut berdukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dipersetujui sebelum ini dengan Takiyuddin dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai lalu berkenaan cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan tidak dilaksanakan. – UTUSAN ONLINE