PUTRAJAYA: Dasar Keselamatan Negara (DKN) disemak semula dan mengguna pakai versi baharu 2021-2025 sebagai mengambil kira ancaman Covid-19 dan strategi menanganinya.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, DKN yang diwujudkan kali pertama pada 2017 diperbaharui bagi memastikan strategi-strateginya sejajar dengan bentuk ancaman semasa.
“Penularan pandemik Covid-19 pada skala global bermula Mac tahun lalu turut memberi ancaman yang berbeza kepada negara dan MKN khususnya.
“Oleh yang demikian, DKN versi baharu 2021-2025 mengambil kira ancaman Covid-19 dan strategi untuk menanganinya,” katanya ketika berucap sempena sambutan jubli emas Majlis Keselamatan Negara (MKN) secara maya hari ini.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi MKN berkata, pendekatan baharu yang diperkenalkan MKN turut merangkumi konsep Keselamatan Menyeluruh atau Comprehensive Security (COMSEC) iaitu suatu doktrin baharu bagi menggantikan konsep Pertahanan Menyeluruh (HanRuh).
Jelas Perdana Menteri, konsep tersebut menggabungkan elemen keselamatan dalam negeri, pertahanan, ketenteraman awam, politik, ekonomi, sosial, kesihatan awam dan alam sekitar.
Bagi melaksanakan konsep itu, beliau berkata, seluruh jentera keselamatan negara di semua peringkat pentadbiran dan seluruh rakyat Malaysia perlu menggembleng tenaga dan usaha menggalas tanggungjawab tersebut.
Perdana Menteri memberitahu, MKN ditubuhkan pada 7 Julai 1971 susulan peristiwa 13 Mei 1969 dengan mandat untuk mengembalikan keamanan negara dan memelihara kedaulatan negara.
Katanya, mandat tersebut menuntut MKN memainkan peranan menerajui pengurusan keselamatan di setiap peringkat persekutuan dan negeri bagi memelihara hak kedaulatan dan keutuhan wilayah.
Melalui MKN juga kepentingan Malaysia baik di daratan, di persekitaran maritim, di ruang udara dan angkasa serta alam siber dapat dipertahankan.
“Kita semakin berdepan dengan pelbagai ancaman bentuk baharu, sama ada yang dicetuskan oleh aktor negara dan bukan negara melalui pendekatan tradisional dan bukan tradisional.
“MKN bersama- sama agensi keselamatan yang lain perlu menguruskan ancaman- ancaman tersebut secara cekap dan berkesan. Sebarang bentuk isu dan permasalahan berkaitan keselamatan harus berada pada tahap minimum supaya tidak mengganggu-gugat kehidupan rakyat,” katanya.
Muhyiddin berkata, dalam tempoh 50 tahun penubuhannya, MKN merekodkan pelbagai pencapaian terbaiknya melalui kuasa untuk mengkoordinasi pelbagai kementerian, jabatan atau agensi dalam menguruskan isu-isu kompleks.
Melalui MKN, kata beliau, kerajaan dapat menangani insiden pencerobohan di Lahad Datu Sabah pada tahun 2013, menyelaras pelbagai misi evakuasi rakyat Malaysia di luar negara semasa konflik Arab Spring di beberapa negara Timur Tengah sejak 2011 sehingga 2015 serta mengetuai usaha rundingan damai Selatan Thailand dan Mindanao dan sebagainya.
“Di sinilah letaknya peri penting MKN yang menjadi peneraju pengurusan keselamatan negara, namun sentiasa berada di sisi belakang tabir,” katanya. – UTUSAN ONLINE