MELAKA: Seorang lelaki diberkas polis selepas dipercayai melarikan sebuah televisyen bersaiz 32 inci dari rumah seorang wanita pesakit strok di Taman Muzaffar Height di sini, kelmarin.
Suspek berusia 27 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4.30 petang oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Ayer Keroh.
Ketua Polis Derah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, tangkapan dibuat selepas polis menerima laporan berhubung kejadian pada pukul 4 petang, Khamis lalu.
“Mengikut laporan dibuat, rumah tersebut adalahj kediaman kakak ipar pengadu, namun dibiarkan kosong selepas wanita terbabit mengalami strok dan tinggal bersamanya sejak setahun lalu.
“Pengadu datang ke kediaman itu kelmarin bagi memeriksa keadaan rumah sebelum mendapati pintu jeriji besi dalam keadaan terbuka dan sebuah televisyen telah hilang dipercayai dicuri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kediaman tersebut, suspek dilihat telah masuk ke dalam rumah berkenaan sebelum keluar dengan membawa sebuah televisyen dan melarikan diri menggunakan motosikal.
“Berdasarkan maklumat CCTV, kita mengesan dan memberkas suspek tersebut pada hari sama selepas laporan dibuat.
“Semakan lanjut mendapati suspek terlibat dalam aktiviti penagihan dadah dan kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE