Dari 'awan biru' ke PPV - Utusan Malaysia

Dari ‘awan biru’ ke PPV

MUHAMMAD Shamsir (depan, dua dari kiri) bergambar bersama lapan kakitangan krew kabin yang bertugas sebagai sukarelawan myVAC (baris belakang) di PPV IPT Mega USIM, Nilai-UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Walaupun tidak dapat bertugas sepenuh masa di atas ‘pesawat’ dalam tempoh pandemik Covid-19, perkara itu tidak mematahkan semangat lapan kru kabin untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat sebagai sukarelawan Malaysia Vaccine Support Volunteers (myVAC).

Kesemua lapan krukabin itu yang merupakan pramugari dan pramugara di syarikat AirAsia dan Malaysia Airlines (MAS) mengambil peluang menjadi sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Institut Pengajian Tinggi (IPT) Mega di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai di sini.

Bermula 1 Julai lalu, mereka keluar dari kebiasaan masing-masing dan bertugas sebagai sukarelawan myVAC bagi menimba ilmu dan pengalaman baharu selepas terjejas akibat pandemik Covid-19.

Ketua Pramugari AirAsia, Nurazleza Abdul Aziz, 48, yang telah berkhidmat selama 29 tahun di ‘awan biru’ berkata, pengalaman di atas kapal terbang diaplikasikan sebaik mungkin untuk melancarkan proses pemberian vaksin.

“Bekerja sebagai kru kabin, kami semua telah dilatih untuk melayan penumpang dengan baik dan perkara itu diaplikasikan ketika bertugas sebagai sukarelawan myVAC supaya semua urusan melibatkan penerima vaksin berjalan dengan cepat dan mudah.

“Selain itu, saya adalah seorang yang aktif, dah biasa keluar bekerja jadi bila duduk di rumah rasa sakit-sakit badan kerana pesekitaran ketika bekerja sangat berbeza. Ia membuatkan saya tidak berfikir panjang dan terus mendaftar sebagai sukarelawan untuk mengisi masa terluang dan timba pengalaman,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Jelas Nurazleza, dalam tempoh pandemik ini ‘flight’ terakhirnya adalah dua bulan lalu memandangkan ketika ini banyak melibatkan penerbangan kargo dan jumlah penerbangan yang membawa penumpang sangat kurang.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat PPV IPT Mega USIM, Prof. Dr. Muhammad Shamsir Mohd. Aris berkata, buat masa ini pihaknta menerima lapan orang kakitangan krew kabin dari syarikat AirAsia dan MAS daripada keseluruhan 35 orang sukarewan myVAC di situ.

“Saya sangat berpuas hati dengan pengalaman dan cara mereka memberi perkhidmatan kepad orang ramai dalam melancarkan proses vaksinasi di PPV IPT Mega USIM yang boleh mencecah maksimum 3,000 orang sehari.

“Mereka pandai menjaga hati dan emosi pengunjung terutama apabila berlaku situasi tertentu, kita lihat kematangan mereka dari segi cara mereka mengatur perjalanan dan gerak kerja agak semuanya berjalan lancar,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN