Cinta Gaza Malaysia hanya ambil tiga peratus dana RM20 juta - Utusan Malaysia

Cinta Gaza Malaysia hanya ambil tiga peratus dana RM20 juta

EBIT LEW dan MUHAMMAD NADIR AL-NURI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cinta Gaza Malaysia (CGM) menegaskan hanya mengambil tiga peratus daripada dana RM20 juta untuk membayar tenaga kerja pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu sekali gus menjawab persoalan Pendakwah Popular, Ebit Lew yang mempersoal tentang dana yang disalurkan kepada CGM.

Ketua Pegawai Eksekutif CGM, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, walaupun NGO dibenarkan untuk mengambil sehingga 30 peratus daripada jumlah dana namun CGM mengecilkan perbelanjaan supaya lebih banyak dapat disalurkan kepada Palestin.

“Saya hendak jelaskan, RM20 juta yang disumbangkan bukanlah satu sumbangan yang diberikan setiap tahun dan kita juga sudah terangkan. Sekiranya dapat RM20 juta itu setiap tahun maka sudah tentu keadaan di Palestin berbeza. Tiadalah rakyat mereka yang terpaksa mengetuk pintu rumah untuk minta bantuan.

“RM20 juta itu juga bukan diuruskan oleh CGM sahaja. Apabila masuknya dana RM20 juta itu, kami pun hanya ambil tiga peratus untuk diberikan kepada staf kami yang bekerja di Malaysia. Tidak mungkinlah kita hendak biarkan pekerja bekerja tanpa dibayar,” katanya dalam sesi Townhall melalui live di Facebook.

Terdahulu, Ebit Lew meminta Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman mengemukakan bagaimana duit sumbangan rakyat Malaysia diagihkan untuk penduduk di Palestin.

Muhammad Nadir al-Nuri menambah bahawa organisasi CGM itu sangat terurus dan mempunyai sistem serta kertas kerja untuk setiap keluar masuk dana.

“Kami ada menyediakan kertas kerja ataupun dipanggil Concept Paper yang mana ia akan diberikan kepada kementerian serta NGO dan dicadangkan projek-projek utama yang perlu dilaksanakan. Ini juga akan diberikan kepada NGO-NGO dan apabila mereka respons kepada kami, kami akan berikan perincian apa yang perlu dilakukan.

“Salah satu adalah bakul makanan yang berharga AS$40 dan ada yang mempertikai dan kata nilai itu mahal dan ada pihak nak curi duit. Namun, kepada mereka yang berminat untuk tahu, maklumkan pada kami dan kami akan berikan perincian kepada mereka,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN