DUNGUN: Seorang warga emas mengambil keputusan ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paka di sini bagi mendapatkan bantuan untuk memotong dua cincin yang tersekat di jari manis tangan kirinya.
Ketua BBP Paka, Mohd. Aidil Khairim Abdul Wahab berkata, wanita berusia 67 tahun dari Felda Kertih 6 itu hadir ke balai berkenaan dengan ditemani anak lelakinya, kira-kira pukul 9.21 pagi ini.
Katanya, mangsa terpaksa menahan kesakitan dua hari berikutan gagal menanggalkan cincin tersebut selepas mengalami bengkak dan luka pada jari manis.
“Mangsa yang menghidap kencing manis memaklumkan sudah mencuba berbuat demikian sejak dua hari lalu, namun tidak berjaya kerana jarinya yang bengkak,” katanya ketika dihubungi Utusan Online, hari ini.
Mohd. Aidil Khairim berkata, pihaknya menggunakan alat pemotong khas bagi menanggalkan kedua-kedua cincin tersebut. – UTUSAN ONLINE










