Chong Wei mohon maaf gagal hadiahkan pingat emas Olimpik - Utusan Malaysia

Chong Wei mohon maaf gagal hadiahkan pingat emas Olimpik

LEE CHONG WEI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Legenda badminton negara yang juga Chef de Mission, Datuk Lee Chong Wei memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana gagal menghadiahkan pingat emas Sukan Olimpik sepanjang bergelar atlet.

Menerusi perkongsian di Facebook miliknya, Chong Wei berkata, dia sudah berjuang bermati-matian bagi memenangi emas sulung Olimpik buat kontinjen Malaysia selepas tiga kali kecundang di Beijing 2008, London2012 dan Rio 2016.

Katanya, selepas penampilan pertama di Olimpik Athens 2004 yang menyaksikan dia tewas di pusingan kedua, bekas pemain nombor satu dunia itu memberitahu yang dia bertekad untuk meraih emas selepas melihat aksi rakan baiknya dari Indonesia, Taufik Hidayat yang bermati-matian berjuang untuk muncul juara pada edisi berkenaan.

“Tetapi ‘turning point’ Chong Wei adalah apabila saya tengok perlawanan akhir kawan baik saya, Taufik melawan Seung Mo. Tidak pernah saya tengok Taufik main sebegitu mati-matian! Lagilah tak pernah tengok Pak Taufik menitis air mata sebegitu di gelanggang.

“Saatnya Lagu Indonesia Raya dilaungkan dan bendera Indonesia dinaikkan semasa upacara hadiah, sekali lagi Taufik menangis dengan emosi kebanggaan. Chong Wei yakin saat itulah antara saat paling bangga Taufik dalam kerjayanya,” katanya.

Dia yang mengumumkan persaraan pada Julai 2019 berkata, sejak itu dia bersungguh-sungguh menjalani latihan bagi memenangi emas Olimpik.

“Chong Wei mahu pingat emas Olimpik. Chong Wei mahu bendera Malaysia dikibarkan. Chong Wei mahu sangat lagu “Negaraku” berkumandang di pentas Olimpik.

“Setiap hari latihan bermati-matian. Bangun paling awal, balik paling lambat. Arak tak pernah sentuh. Rokok pantang dicuba. Makan pun jaga.

“2008 di Beijing, Lin Dan di belakang ribuan sokongan penonton tempatan. Terlalu handal. Tidak apa. Cuba lagi empat tahun lagi.

“2012 di London, Lin Dan lagi (siot betul)! Kali ini sengit. Chong Wei menghabiskan segala tenaga yang ada. Sampai kosong gas tong. Rubber game, kalah 21-19. Tidak putus asa. Nak lagi, empat tahun lagi.

“2016 di Rio, kali ini saya menang Lin Dan. Tapi emas tetap tidak kesampaian. Badan sudah ibarat kata Malaysian… koyak. Kalah pula kepada Chen Long di final.

“Tapi hati masa tu masih tidak mahu putus asa. Mahu cuba sekali lagi di Tokyo. Selepas itu, anda semua tahu apa yang berlaku. Minta maaf Malaysia. Sangat-sangat minta maaf. Tidak terdaya membawa balik pingat rahmat itu untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Chong Wei turut meniupkan kata-kata semangat kepada barisan atlet negara yang akan beraksi di Tokyo untuk melakukan yang terbaik demi Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya