KUALA LUMPUR: Semua dokumen perjanjian vaksin dan butiran perbelanjaan termasuk harga vaksin bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) telah dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, pembentangan itu adalah bagi memastikan ketelusan semua perbelanjan bagi program pemberian vaksin kepada rakyat melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berjumlah RM5.8 bilion.
“Pelaksanaan PICK memperuntukkan perbelanjaan besar kepada negara, sudah pasti jumlah perbelanjaan RM5.8 bilion menimbulkan persoalan bagaimana wang ini dibelanjakan, berkenaan perkara ini PAC telah adakan prosiding sebanyak dua kali yang mana kali pertama 5 Januari lalu, Menteri Kesihatan (Datuk Seri Dr. Adham Baba) dan saya telah beri keterangan dan sekali lagi semalam saya sekali lagi beri ketetangan di hadapan PAC.
“Untuk makluman dalam prosiding PAC, dokumen perjanjian vaksin, butiran perbelanjaan PICK termasuk harga pemberian serta jenis vaksin telah saya dedah kepada PAC,” katanya dalam Sidang Khas Dewan Rakyat, hari ini.
Jelas Khairy, selain PAC, bagi memastikan ketelusan perbelanjaan pengurusan PICK, Jumaat lalu, Timbalan Ketua Setiausaha MOSTI telah memberi keterangan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan Sains dan Inovasi.
“Taklimat juga diberi kepada ahli Parlimen dan saya beri jaminan segala perbelanjaan dan penjanjian dalam perolehan vaksin dan PICK akan saya terus bentang kepada PAC tanpa apa-apa gangguan,” katanya.
Khairy yang juga Menteri Penyelaras PICK turut memaklumkan sebanyak RM5.8 bilion merangkumi RM4.8 bilion disalur kepada Kementerian Kesihatan dan RM1 bilion disalur kepada MOSTI.