MELAKA: Kegiatan dua lelaki menjalankan pengedaran dadah menggunakan perkhidmatan kurier berjaya dihidu pihak polis apabila kesemua dadah bernilai RM108,000 dirampas.
Suspek berusia 46 dan 36 tahun yang masing-masing bekerja sebagai buruh serta tukang gunting rambut itu ditahan dalam dua serbuan berasingan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.
Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, bertindak atas maklumat, suspek pertama berusia 46 tahun ditahan kira-kira pukul 3 petang dalam satu serbuan di sebuah rumah di Durian Daun, Alor Gajah pada 15 Julai lalu.
Katanya, hasil pemeriksaan lanjut di premis menjumpai 16 peket plastik lutsinar disyaki berisi dadah jenis heroin seberat 7.25 kilogram dengan anggaran nilai RM80,000.
“Polis turut menjumpai satu peket plastik disyaki berisi syabu seberat 200 gram bernilai RM28,000.
“Hasil tangkapan itu, kita berjaya mengesan seorang lagi suspek dan tangkapan dilakukan keesokannya pada pukul 9.30 di Pandan Indah, Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jelasnya, hasil risikan, jumlah rampasan dadah yang mampu menampung keperluan seramai 24,166 penagih itu dipercayai dibawa masuk ke Melaka menggunakan khidmat kurier untuk pasaran tempatan.
“Disebabkan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh pada waktu pandemik ini, suspek turut menukar taktik dengan menghantar bekalan dadah ke negeri ini menggunakan khidmat kurier.
“Siasatan lanjut masih diteruskan termasuklah tempoh sebenar suspek aktif melakukan kegiatan itu,” jelasnya.
Tambahnya, dalam tangkapan tersebut, polis turut menyita kereta, wang tunai dan barang kemas dengan nilai keseluruhan RM84,650.
Abdul Majid turut memaklumkan, semakan lanjut mendapati, suspek masing-masing mempunyai 12 serta enam rekod lampau berkaitan dadah, dan saringan ujian kencing mendapati suspek pertama positif dadah jenis opiat.
Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga 22 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) akta sama.










