SHAH ALAM: Orang ramai khususnya ahli keluarga mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines Berhad (MAB) MH17 boleh menyaksikan detik peristiwa menggemparkan negara menerusi penerbitan sebuah buku, ‘MH17 Tragedy: The Untold Story’.
Buku itu diterbitkan Institut Patologi, Perubatan Makmal dan Forensik (I-PPerForM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan kerjasama Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN).
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), UiTM, Prof. Dr. Roziah Mohd. Janor yang juga menjalankan fungsi Naib Canselor memberitahu, pelancaran buku tersebut adalah hasil daripada kerjasama sebuah kumpulan yang terdiri daripada ahli yang memiliki pelbagai kemahiran.
“Penerbitan buku itu turut bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Hospital Kuala Lumpur (HKL) serta beberapa jabatan dalam UiTM seperti Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM, Hab Media Kreatif dan Teknologi dan Akademi Pengajian Bahasa.
“Buku ini mengabadi dan mendokumentasikan peristiwa dari 18 Julai sehingga 18 Ogos 2014, di mana satu kumpulan terdiri daripada kakitangan KKM, ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kimia Malaysia (KM) serta agensi antarabangsa terlibat dalam pengurusan dan implementasi operasi pengecaman mangsa bencana (DVI) dalam kemalangan MH17,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada sesi menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara I-PPeForM dan Malaysian Society for Disaster Victim Identification (MSDVI) yang turut disaksikan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.
Selain itu, majlis yang diadakan secara maya itu turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Mohd. Nazip Suratman, Pengerusi MSDVI dan Komander DVI MH17 (Perubatan) bagi DVI Malaysia, Datuk Dr. Mohd. Shah Mahmood, Pengarah I-PPerForM, Prof. Datin Dr. Hapizah Md. Nawawi dan Pengarah IPFN, Dr. Mohamad Azaini Ibrahim.
Terdahulu, pesawat MH17 dilaporkan meletup di ruang udara sebelum terhempas akibat ditembak di Donetsk, Ukraine pada 17 Julai 2014 mengorbankan kesemua 283 penumpang dan 15 anak kapal ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.
Kejadian itu merupakan tragedi penerbangan kedua negara berlaku dalam tempoh beberapa bulan selepas pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dari Kuala Lumpur ke Beijing, China dilaporkan hilang pada 8 Mac 2014.
Untuk rekod, buku tersebut juga mendedahkan kisah yang tidak pernah dilaporkan berkenaan misi pemerolehan kotak hitam dari Ukraine yang sangat berisiko oleh kumpulan Malaysia.
Malah pendedahan kepada orang awam berkenaan tatakerja konvensional DVI dan gabungan kaedah-kaedah DVI moden bagi meningkatkan kecekapan proses pengecaman mangsa turut diterangkan. – UTUSAN










