PUTRAJAYA: Kesesakan luar biasa ribuan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bukan disebabkan masalah terkandas.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud menjelaskan, mereka yang terlibat juga bukan diminta berkumpul di situ sebelum balik ke negara asal masing-masing.
“Sebaliknya mereka menunggu giliran bagi bayar kompaun RM500 dan mendapatkan memo periksa keluar sebelum boleh meninggalkan Malaysia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau merujuk laporan berita beberapa akhbar tempatan mendakwa ramai PATI ‘tersangkut’ di KLIA dan terlepas penerbangan kononnya kaunter Imigresen memproses dokumen agak lama.
Sambutan luar biasa mereka itu susulan pelaksanaan Program Rekalibrasi Pulang kelolaan jabatan tersebut sebagai pelan pemutihan PATI sejak dilancarkan awal Disember tahun lalu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, rakyat asing itu melakukan kesalahan tinggal lebih masa dan ‘merebut’ peluang balik melalui kaunter khas imigresen yang dibuka dari 5 Julai lepas.
“Setakat semalam, seramai 3,483 orang PATI pulang ke negara mereka melalui khidmat kaunter ini dan membuktikan sambutan program rekalibrasi sangat menggalakkan,” katanya.
Sejak pelan itu diperkenalkan hujung tahun lalu sehingga semalam, seramai 101,691 orang berdaftar dan daripada jumlah tersebut, 83,117 orang sudah meninggalkan negara ini.
Bagaimanapun ujarnya, bilangan yang datang ke KLIA baru-baru ini adalah luar jangkaan dan melebihi kapasiti ruang menunggu disediakan oleh pihak lapangan terbang itu di aras tiga. – UTUSAN ONLINE










