PETALING JAYA: Kerajaan perlu membuat post mortem di sebalik peningkatan kes penularan Covid-19 walaupun telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 hampir sebulan sebelum ini.
Exco Pemuda UMNO, Mustafa Shah Abdul Hamid berkata, kerajaan juga wajar menyemak semula langkah Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Darurat (PKPD) esok selepas selepas PKP dilihat gagal mencatatkan penurunan kes.
Malah katanya, PKPD di Selangor dan Kuala Lumpur dijangka memberi tekanan kepada penduduk di kawasan terlibat.
“PKP yang panjang bukan saja memberi kesan kepada norma hidup masyarakat, sebaliknya juga memberi kesan kepada ekonomi rakyat khususnya peniaga kecil dan mereka yang bergaji hari. Sampai bila kita harus dalam keadaan begini sedangkan rakyat semakin hari semakin menderita?
“Pelaksanaan PKP separuh masak dan kegagalan kita mengawal operasi kilang merupakan punca utama kepada peningkatan kas Covid-19 di negara ini khususnya Lembah Klang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Mustafa Shah, operasi kilang dan tapak pembinaan ketika PKP perlu diberi perhatian serius dan diteliti pengoperasiannya kerana ada di kalangan mereka yang masih beroperasi meskipun puluhan kakitangan disahkan positif Covid-19.
“Ada sebahagian kilang dan tapak binaan tidak melaporkan mengenai kes positif Covid-19.
“Ini yang perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan termasuk mempercepat usaha vaksinasi pekerja-pekerja kilang dan tapak pembinaan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE