Boleh mohon rentas daerah ke kebun durian - Polis

Boleh mohon rentas daerah ke kebun durian

YAHAYA Hassan (kiri) menyampaikan bantuan kotak makanan kepada seorang penerima di Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pemilik kebun durian di negeri ini boleh memohon kebenaran merentas daerah untuk ke kebun mereka yang terletak di daerah lain semasa musim raja buah itu ketika ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, polis tiada halangan untuk pemilik kebun durian memohon kebenaran merentas daerah bagi melihat tanaman di tempat lain sekiranya permohonan yang dikemukakan betul dan memenuhi syarat.

Menurutnya, permohonan bagi pemilik kebun durian sama seperti bidang pertanian lain khususnya yang melibatkan rantaian makanan. 

“Polis tiada halangan untuk memberi kelulusan rentas daerah bagi mereka yang memiliki kebun durian di daerah lain termasuk pemajak dan juga pekerja kebun.

“Mereka sama juga seperti pemilik kebun getah yang perlu berulang alik untuk mengusahakan tanaman atas tujuan pertanian.

“Kita benarkan pemilik atau pemajak kebun durian dan tiada halangan pada permohonan yang dikemukakan dengan bukti yang betul. Aktiviti pertanian memang diberi pertimbangan, kita tidak akan menyukarkan pekebun durian,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kotak makanan kepada 10 penerima melalui Op Bantu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, di sini hari ini.

Sementara itu, Yahaya menasihatkan masyarakat di bandar raya ini agar terus kekal patuh pada arahan yang ditetapkan pada Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Katanya, ini termasuk larangan melakukan aktiviti riadah secara berkumpulan atau beriadah di luar kawasan kejiranan yang ditetapkan.

“Contohnya berada di taman permainan tetapi berbual-bual dalam kumpulan, itu tidak boleh.

“Jika hendak beriadah, selagi masih dalam lingkungan 10 kilometer pada kawasan tempat tinggal maka dibenarkan, peraturannya mudah, jadi patuhilah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN