PETALING JAYA: Pelajar tahun akhir Perhubungan Awam dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah berjaya menganjurkan program ‘Biz4You-th: The Bazaar Of Stories’, bagi berkongsi pengalaman usahawan ketika musim pandemik.
Program itu membabitkan forum secara langsung yang membincangkan kisah sebenar wira usahawan dalam meneruskan perniagaan mereka.
Program ini disiarkan secara langsung pada 4 Julai 2021, bemula pukul 8 malam secara langsung di Youtube milik Luminous Embody.
Ia berjaya mendapat lebih 1’000 tontonan dan telah dirasmikan oleh Koordinator Kursus Perhubungan Awam (MC242) merangkap Penasihat Projek
Biz4You-th, Abuzar Abdul Halim.

Tetamu utama program ini adalah Exco Generasi Muda, Sukan, dan Modal Insan Negeri Selangor, Mohd Khairuddin Othman.
Turut mengambil bahagian ialah Firdhaus Rahmat (pemilik CareMunch), Mohd. Nujaidi (Agropreneur Moden) dan Muhammad Rafiq Azam (pemilik Venteera Official).
Mohd Khairuddin berharap rakyat tidak berputus asa dan hilang harapan menghadapi Covid-19 ini.
Katanya, walaupun ramai yang kehilangan kerja namun ramai juga yang bangkit dengan menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.
Mohd Nujaidi pula berkata, dia sebelum ini bekerja dalam bidang korporat selama enam tahun, tetapi mengambil langkah drastik untuk berhenti dan meneruskan kerjayanya dengan memulakan perniagaan dalam bidang pertanian.
Katanya, antara sebab dia nekad mengambil risiko itu ialah mahukan masa lebih bersama keluarga kerana selama beliau bekerja, beliau merasakan masanya banyak dihabiskan di luar berbanding bersama keluarga tersayang. T
Bagi Firdhaus, pula sebelumnya bergiat aktif di dalam industri perfileman, beliau dapat melihat dan rasakan industri yang selama ini membawa rezeki kepadanya perlahan-lahan runtuh dan memaksa beliau untuk mencari inisiatif tambahan demi kelangsungan hidup.
“Saya perlu rendahkan ego dan teruskan sahaja” katanya.
Beliau seorang yang introvert membuat keputusan untuk membina perusahaan makanan digelar ‘CareMunch’ bersama rakannya.
Katanya, ia merupakan satu kejayaan kerana ‘CareMunch’ telah mendapat sambutan luar biasa daripada para pembeli.
Muhammad Rafiq pula mengambil inisiatif bersama abangnya di musim pandemik ini dengan mengambil lebih ramai dropshipper kerana percaya pada kata kata hikmat lebih banyak yang dikongsi, lebih banyak yang akan dapat”.
Setakat ini, para dropshipper Venteera berjaya menjual sekitar 6,000 helai baju semasa musim pandemik Covid-19 dah ia merupakan pekerjaan separuh masa mereka sahaja. – UTUSAN










