PETALING JAYA: Kerajaan perlu menambah perjawatan pegawai perubatan gred UD43 dan UD44 mengikut bilangan sewajarnya.
Presiden Persatuan Alumni Doktor Universiti Sains Malaysia (Padu), Prof. Datuk Dr. Jafri Malin Abdullah berkata, tindakan itu perlu demi negara dengan mengambil kira peluang menyambung kepakaran untuk kesinambungan mutu perkhidmatan negara ini.
Menurutnya, kerajaan juga perlu memberi emolumen yang setara dengan doktor lantikan tetap dengan perolehan manfaat sama seperti cuti khas perubatan, cuti tanpa rekod untuk peperiksaan, cuti sakit atau kemalangan dan peluang mendapat Hadiah Latihan Persekutuan.
“Kita perlu ingat, pegawai perubatan kontrak yang ini adalah pelajar-pelajar pintar hasil pendidikan negara dan merekalah yang bakal merawat sebilangan besar kita semua nanti.
“Masalah lambakan pegawai perubatan adalah satu masalah kronok yang diwarisi hasil kesilapan sistem pentadbiran namun masih boleh diperbaiki untuk mencapai status negara maju.
“Justeru, polisi dan strategi yang jelas dan sistematik perlu dilaksanakan bagi mengatasi masalah ini. Padu meletakkan harapan tinggi kepada kerajaan untuk mencari jalan keluar bagi masalah ini demio keharmonian fraterniti perubatan dan doktor-doktor junior kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kelmarin, Gerakan Hartal Doktor terpaksa mengambil tindakan drastik untuk tidak bekerja pada 26 Julai ini jika kerajaan tidak memenuhi tuntutan menawarkan pelantikan tetap kepada semua doktor kontrak sedia ada selain menjelaskan kriteria lantikan tetap secara terperinci.
Untuk rekod, kerajaan mensyaratkan doktor yang ingin melanjutkan pelajaran mesti sekurang-kurangnya berkhidmat secara tetap dengan kerajaan selama tiga tahun namun bergantung dengan Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) 85 peratus. Sejak 2016, seramai 789 atau 3.4 peratus daripada 23,000 pegawai dilantik secara tetap manakala lebihnya berkhidmat secara kontrak.
Mengulas berkenaan masalah menyebabkan kekecewaan dalam kalangan doktor kontrak, beliau berkata, wujud halangan untuk latihan kepakaran di negara ini apabila kerajaan hanya memberikan Hadiah Latihan Persekutuan untuk membolehkan doktor menyambung pengajian untuk bergelar pakar.
Walhal, katanya, doktor kontrak terpaksa menyambung pelajaran atas tanggungan sendiri sekaligus menyebabkan ramai yang bersedia untuk meneruskan latihan kepakaran namun tidak dapat berbuat demikian.
Selain itu, disebabkan dasar kerajaan yang tidak menjanjikan mereka akan diserap ke jawatan tetap apabila tempoh perkhidmatan wajib tamat menyebabkan doktor kontrak tidak mendapat kelebihan sama seperti doktor lantikan tetap seperti cuti khas perubatan, cuti tanpa rekod, cuti separuh gaji, sakit kronik dan cuti belajar.
“Saya melihat wujud kecelaruan dalam lantikan jawatan tetap apabila terdapat kriteria penilaian untuk pelantikan tetap melalui tiga peringkat penilaian bagi memelihara ketelusan dan integriti dalam proses memperakukan pelantikan tetap.
“Namun, terdapat pegawai perubatan bermasalah dilantik ke jawatan tetap sebaliknya pegawai yang dedikasi tidak mendapat tempat. Disebabkan status kontrak juga, mereka sukar membuat pinjaman perumahan atau pembelian kenderaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE