Bawa masuk pekerja asing ke Melaka perlu kelulusan kerajaan negeri

Bawa masuk pekerja asing ke Melaka perlu kelulusan kerajaan negeri

RAMLI Mohd. Ali (tengah) sedang membuat pemantauan SOP di salah sebuah kilang di Ayer keroh, Melaka. - FOTO/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Mana-mana majikan yang ingin membawa masuk pekerja warga asing dari negeri lain sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan penuh pergerakan perlu mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Melaka, Ramli Mohd. Ali berkata, keputusan terbaru itu dibuat ketika Mesyuarat Jawatankuasa Pematuhan Covid-19, Selasa lalu.

Menurutnya, prosedur baru itu menetapkan setiap majikan perlu mengemukakan permohonan terlebih dahulu kepada kerajaan negeri sebelum membawa masuk pekerja warga asing dari negeri lain untuk bekerja di sini.

“Antara prosedur lain yang perlu dipatuhi setiap majikan ialah kesemua pekerja terbabit perlu menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum memasuki Melaka.

“Ujian saringan itu pula perlu ditanggung sepenuhnya oleh majikan dan bukan kerajaan negeri. Di samping itu, majikan juga perlu memaklumkan di mana tempat tinggal pekerja terbabit akan ditempatkan.

“Majikan juga perlu mengesahkan terlebih dahulu tahap kesihatan pekerja yang mereka bawa terutama daripada negeri-negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya di sini hari ini.

Tambah Ramli, jika ada majikan yang degil dan tidak mematuhi SOP baru itu, kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas.

Menurutnya, ia dibuat berikutan seramai 51 daripada 79 pekerja warga asing iaitu 16 dari Nepal dan Bangladesh (63) yang dibawa dari Kuala Lumpur untuk bekerja di sebuah kilang di Ayer Keroh didapati positif Covid-19.

“Selasa lepas pula, seramai 37 pekerja warga asing yang datang dari Selangor telah berjaya dihalau keluar dari negeri ini selepas ejennya gagal mengemukakan sebarang surat kebenaran daripada kerajaan negeri,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN