Banyak punca akaun berita palsu dari Australia, Jerman, Singapura - Utusan Malaysia

Banyak punca akaun berita palsu dari Australia, Jerman, Singapura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Polis mengakui berdepan rintangan kesukaran bagi mengesan punca akaun penyebar berita palsu di negara ini kerana sebahagian besar beralamat di luar negara.

Perkara itu didedahkan oleh Timbalan Pengarah (Risikan dan Operasi), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Dev Kumar ketika menceritakan pengalaman getir yang dilalui polis.

“Sebenarnya, saya bersetuju kita hadapi pelbagai cabaran dalam usaha jejak sumber akaun ini yang dibuat sendiri rakyat Malaysia berada di Australia, Jerman dan Singapura,” katanya dalam sidang akhbar secara maya hari ini mengenai isu berita palsu yang dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Terdahulu, Saifuddin memaklumkan ada banyak kes berita palsu yang agak jelas tetapi sukar diselesaikan kerana alamat pemegang akaun media sosial itu pula terletak di negara asing.

Sehubungan itu, hanya 282 kes diambil tindakan sepanjang tempoh 18 Mac tahun lalu hingga 11 Julai lepas berkaitan penyebaran berita palsu mengenai wabak Covid-19 di Malaysia.

Daripada jumlah berkenaan ujar beliau, sejumlah 163 kes masih dalam siasatan manakala 119 kes lagi sudah selesai disiasat dengan tiga kes sahaja dijatuhi hukuman oleh mahkamah.

Mengulas lanjut, Dev berkata, pemilik akaun ini juga licik apabila sebaik sahaja hantarannya tular dikongsikan ramai warganet, suspek itu terus bertindak segera memadam kandungan berita itu.

“Belum sempat kita kesan alamat, hantaran ini sudah pun hilang dan yang jadi mangsa ialah netizen tempatan kerana didakwa kongsi dan hantar semula kandungan jelik itu,” katanya.

Bagaimanapun beliau bersyukur kerana pelaksanaan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021 sebenarnya berjaya mengurangkan penyebaran berita palsu secara mendadak.

Beliau memberi contoh secara purata sebanyak 24 kes direkodkan setiap bulan sepanjang tahun lalu apabila warganet aktif banyak masa di rumah pada peringkat awal wabak Covid-19.

Namun ujarnya, selepas Proklamasi Darurat diwartakan pada awal tahun ini, jumlah berita palsu turun drastik kepada purata hanya tujuh kes sebulan dicatatkan polis di seluruh negara.

Selain isu pandemik dan vaksinasi, pihaknya turut menyiasat sebanyak 743 kes berkaitan 3R iaitu Royalty, Religion, Race (Diraja, Agama, Kaum) sejak dari 2015 sehingga akhir Jun lepas. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN