PETALING JAYA Orang ramai diingatkan supaya berhati-hati dengan sindiket penipuan yang menawarkan kempen jualan menggunakan platform dalam talian bagi meraih pendapatan.
Taktik yang digunakan sindiket penipuan ini adalah dengan menghantar mesej melalui Facebook Messenger dengan menawarkan kepada mangsa bagaimana cara untuk meningkatkan jualan mereka melalui dalam talian.
Bagaimanapun, selepas penerangan diberikan, mangsa kemudian diminta membuat beberapa tugasan jualan dengan menjanjikan pulangan yang tinggi walhal itu sebenarnya hanya helah digunakan sindiket.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, satu laporan polis diterima pihaknya daripada seorang wanita yang menjadi mangsa penipuan dengan menggunakan taktik itu.
Menurutnya, wanita terbabit dikatakan menerima tawaran menyertai kempen jualan itu daripada seorang ‘rakannya’ menerusi Facebook baru-baru ini.
“Tanpa mengesyaki apa-apa mangsa kemudian bersetuju dan dihubungi suspek hanya menerusi Facebook walhal akaun kenalan mangsa telah diceroboh oleh suspek.
“Mangsa yang menyangka suspek adalah rakannya turut memberikan kata laluan sekali guna (OTP) yang didakwa dihantar oleh platform jualan dalam talian ke telefon bimbitnya sedangkan ia digunakan suspek untuk membuat pindahan wang menggunakan kad kredit wanita itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamad Fahkrudin berkata, mangsa hanya menyedari ditipu selepas menerima mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) yang memaklumkan kad kreditnya digunakan.
Katanya, mangsa kemudian menghubungi rakannya namun dia dimaklumkan FB berkenaan sudah lama tidak digunakan dan ia dimanipulasi individu tertentu untuk menipu.
“Polis menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati kerana penipuan jualan dalam talian ini meningkat kerana trend masa kini masyarakat,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










