Atlet dibenar bawa bayi menyusu ke Olimpik Tokyo

Atlet dibenar bawa bayi menyusu ke Olimpik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Atlet yang sedang menyusukan anak dibenarkan membawa bayi mereka ke Sukan Olimpik Tokyo dengan syarat ‘hanya bila diperlukan’, kata pihak penganjur selepas menerima kritikan kaum ibu yang mempersoalkan peraturan ketat untuk membawa ahli keluarga ke temasya itu.

Penjelasan tersebut di­sambut baik segelintir atlet, namun bintang bola sepak Amerika Syarikat, Alex Morgan mengkritik penganjur kerana kriteria yang tidak jelas meletakkan mereka dalam ‘kebingungan’.

Keluarga atlet dila­rang menghadiri Olimpik yang ditunda susulan pandemik Covid-19 dan di bawah peraturan anti virus, penganjur perlu menganjurkan temasya dalam keadaan selamat.

Bagaimanapun Tokyo 2020 membuat penge­cualian terhadap atlet yang sedang menyusukan bayi dan mempertimbangkan ‘situasi unik’ untuk membenarkan me­reka berada di samping ibu ‘ketika perlu’.

Anak yang disusukan tidak dibenarkan berada di Perkampungan Sukan Olimpik, sebaliknya perlu tinggal di penginapan persendirian seperti hotel.

Kenyataan itu turut menambah, mereka sentiasa komited untuk melakukan segala yang termampu bagi membolehkan atlet beraksi di Olimpik Tokyo 2020.

Begitupun Morgan berkata, dia masih keliru dengan situasi anaknya, Charlie kerana polisi itu tidak memberikan perincian secukupnya.

“Masih belum pasti apakah yang dimaksudkan dengan ‘ketika perlu’ itu.

“Adakah ia ditentukan oleh ibu atau Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC)? Kami sebagai ibu di Olimpik ingin memberitahu kamu, ini satu keperluan.

“Saya tidak dimaklumkan oleh sesiapa mengenai kebenaran untuk membawa anak bersama ke Jepun dan kami akan berada di sana selama tujuh hari,” kata juara Piala Dunia dua kali dan pemenang pingat emas Olimpik itu dalam satu hantaran di Twitter.

Atlet sebelum ini melontarkan rungutan mengenai peraturan terbabit di media sosial dengan pemain bola keranjang Kanada, Kim Gaucher berkata, dia terpaksa memilih antara menjadi ibu susuan atau atlet Olimpik.

“Saya kini berasa lega apabila ia diumumkan oleh pihak penganjur. Bangun dengan berita besar pagi ini, Sophie boleh ke Tokyo.

“Rasa lega yang tidak perlu membuat keputusan ini,” katanya di aplikasi Instagram. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN