SHAH ALAM: Kerajaan negeri mengambil inisiatif melaksanakan pengurusan jenazah Covid-19 secara berpusat bagi membantu mengatasi kesesakan di Jabatan Forensik hospital seluruh negeri ini dan mengelakkan daripada waris menunggu terlalu lama.
Sejajar dengan langkah itu, Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 di sini dan Tanah Perkuburan Islam Selat Klang, Klang dipilih sebagai tempat pengebumian jenazah mangsa Covid-19.
Bagi jenazah bukan Islam pula, waris ahli keluarga perlu merujuk kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menentukan lokasi pengebumian dan pengurusan krematorium yang bersesuaian.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang berharap menerusi inisiatif itu, pengurusan jenazah mangsa Covid-19 dapat dilakukan dengan sebaik dan secepat mungkin.
“Saya telah dimaklumkan mengenai beberapa kekangan dalam isu pengurusan jenazah Covid-19 di beberapa buah hospital di Selangor. Justeru, saya telah memulakan perbincangan dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi-agensi negeri.
“Justeru, kerajaan negeri mengumumkan inisiatif Pengurusan Jenazah Covid-19 Berpusat. Terdapat tiga hospital yang telah dikhususkan untuk mangsa Covid-19 sama ada bergama Islam mahupun bukan, iaitu Hospital Shah Alam, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Klang,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, beliau akan berhubung dengan Kementerian Luar Negeri bagi menyelaraskan urusan jenazah yang Bukan Warga Negara (BWN).
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 menjadi tumpuan apabila 12 jenazah mangsa Covid-19 dari Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dikebumikan dalam masa satu malam di sana.
Sebelum itu, 15 jenazah mangsa Covid-19 dari hospital lain turut dikebumikan di sana sejak pagi kelmarin menjadikan jumlah keseluruhan disemadikan pada hari berkenaan sebanyak 27 orang.
Dalam pada itu, Amirudin turut memaklumkan beliau akan meneruskan saringan secara bersasar di kawasan-kawasan yang dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan memvaksin penduduk yang negatif.
“Terdapat empat lokaliti yang akan menjalani PKPD berkuatkuasa 12 tengah malam ini. Lokaliti tersebut adalah Damai Apartment, PJS 8; Jalan Pandan Indah, Hulu Langat; Jalan Batu Nilam, Bukit Tinggi, Klang dan Taman Samudera, Gombak yang dijangka tamat pada 31 Julai.
“Bekalan bakul makanan akan dipastikan siap bagi penerima tidak lewat dari 48 jam selepas PKPD dikuatkuasakan. Saringan Covid-19 bersasar dilakukan, warga yang positif akan diasingkan untuk rawatan dan negatif akan divaksin oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD),” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










