PETALING JAYA: Malaysia perlu mengambil iktibar Chile apabila kadar vaksinasi yang tinggi oleh negara itu tidak menurunkan kes baharu dan jumlah kematian Covid.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kadar vaksinasi Chile kini adalah jauh lebih tinggi berbanding Malaysia apabila hampir 60 peratus penduduk telah selesai diberi dua dos vaksin berbanding 11.4 peratus untuk negara ini.
“Chile telahpun mencapai paras 40 peratus penduduk selesai diberi vaksin pada Mei lalu iaitu paras di mana Malaysia menjadikan sasaran bagi negara beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) di mana sektor-sektor bukan keperluan serta aktiviti sosial dan keagamaan dibenarkan semula.
“Biarpun kadar vaksinasi di Chile sangat tinggi berbanding Malaysia tapi kes baharu dan kematian baharu Covid tetap tinggi. Kes baharu negara itu hanya mula menunjukkan trend penurunan selepas negara itu lockdown semula pada paras vaksinasi 45 peratus iaitu pada Jun lalu,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Justeru itu Najib berkata, kerajaan perlu ada pelan sokongan atau langkah selanjutnya untuk mengurangkan risiko jika pelan dirancang sebelum ini tidak berjaya dan perlu mengambil pengajaran yang berlaku di negara lain termasuk Chile sendiri.
Oleh demikian, beliau mencadangkan kepada kerajaan untuk membenarkan rakyat Malaysia untuk mengambil suntikan ketiga vaksin Covid-19 atau booster shot bagi meningkatkan kadar keberkesanan vaksin ekoran kemunculan varian-varian baharu.
Terbaharu kata beliau, beberapa negara sudah menggalakkan dan menawarkan booster shot kepada rakyat masing-masing sejak kebelakangan ini.
Beliau meminta kerajaan agar melaksanakan program vaksinasi bagi remaja antara 12 tahun hingga 18 tahun dengan membenarkan suntikan bagi golongan itu tanpa paksaan.
“Kita jangan jadi antara negara paling lewat untuk meluluskan dan mulakan kedua-dua inisiatif ini. Perlu beri keutamaan untuk memastikan kedua-dua cadangan ini adalah selamat dan sekiranya selamat, kita luluskan dan laksanakan serta-merta,” ujar Najib. – UTUSAN










