SHAH ALAM: Seorang lelaki maut dilanggar sebuah kereta apabila melintas jalan secara tiba-tiba dekat Kilometer (KM) 9.4 Lebuhraya Lembah Klang Utara (NKVE), di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, pejalan kaki berusia 50-an itu dilanggar ketika berada di lorong kedua selepas susur Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite) di arah Klang – Damansara.
“Kemalangan itu mengakibatkan mangsa maut di tempat kejadian. Punca kematian adalah head injury due to motor vehicle accident. Identiti mangsa si mati belum dikenal pasti,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau juga menyeru saksi atua orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Najib Abdul Rahman di talian (019-7757354). – UTUSAN










