MELAKA: Jumlah kenderaan yang diarah berpatah balik di sekatan jalan raya (SJR) pintu masuk negeri ini meningkat kepada 538 buah dalam pemeriksaan Op Patuh Aidiladha, sejak 18 Julai lalu.
Pegawai Turus Ketenteraman Awam Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Deputi Superintenden Nik Ab. Halim Nikmat berkata, sepanjang empat hari operasi, sebanyak 56,670 buah kenderaan telah diperiksa.
Jelasnya, daripada jumlah tersebut, 538 kenderaan dihalang meneruskan perjalanan dan diarah berpatah balik.
“Kita telah melaksanakan Op Patuh Aidilfitri bermula 18 Julai lalu, pada hari pertama sebanyak 1,857 buah kenderaan diperiksa dengan 279 daripadanya diarahkan berpatah balik.
“Namun, secara keseluruhan sehingga kelmarin, jumlah diarahkan berpatah balik meningkat kepada 538 buah daripada jumlah keseluruhan 56,670 kenderaan yang diperiksa,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Nik Ab. Halim menambah, polis turut menjalankan pemeriksaan di 704 bangunan yang terlibat dalam melaksanakan ibadah korban.
“Mengikut pecahan, 371 pemeriksaan dilakukan di masjid dan surau, 265 rumah ke rumah dan 68 di lokasi lain yang dibenarkan melaksanakan ibadah korban secara rawak.
“Sepanjang pemeriksaan dilakukan, kita dapati semua wakil yang diamanahkan untuk melaksanakan ibadah korban mengikuti SOP ditetapkan dengan baik,” jelasnya.










