Ahmad Maslan mohon kes pindah Mahkamah Tinggi - Utusan Malaysia

Ahmad Maslan mohon kes pindah Mahkamah Tinggi

AHMAD MASLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan memohon agar kes beliau yang didakwa gagal mengisytiharkan wang RM2 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dibicarakan di Mahkamah Tinggi di sini.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Mukhzany Fariz Mohd. Mokhtar ketika dihubungi berkata, permohonan tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi di sini minggu lalu.

Sehubungan itu perbicaraan kes yang sepatutnya bermula hari ini di Mahkamah Sesyen di sini ditangguhkan dan kes akan disebut semula pada Khamis, 8 Julai ini.

Pada prosiding terakhir yang berjalan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijalankan, mahkamah menetapkan 5 hingga 8, 12 hingga 15 dan 26 hingga 29 Julai 2021 bagi perbicaraan kes tersebut. Dijangkakan, seramai 10 saksi akan dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan tersebut.

Mengikut pertuduhan pertama, Ahmad, 55, didakwa menerima wang RM2 juta daripada Najib, yang dipercayai sebagai hasil aktiviti yang menyalahi undang-undang, melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013, dan cek itu telah ditunaikan sendiri oleh Ahmad, pada hari yang sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 30 April 2014 di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Ahmad, dituduh memberi pernyataan palsu kepada SPRM ketika percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa, Mohd. Zairi Zainal antara pukul 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai 2019, di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini berhubung cek tersebut.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 32(8)c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya