Ada pihak bocorkan rahsia mesyuarat MT UMNO - Utusan Malaysia

Ada pihak bocorkan rahsia mesyuarat MT UMNO

SHAHRIL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selain mempersoalkan kenyataan rasmi UMNO, terdapat pihak cuba mengeruhkan keadaan apabila didakwa membocorkan kerahsian mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) dengan begitu sahaja, tanpa rasa hormat kepada kerahsiaan parti.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, untuk itu beliau perlu menjelaskan apa yang berlaku sepanjang dan selepas mesyuarat tersebut berlaku.

Jelasnya, mesyuarat itu berjalan dengan baik apabila semua pihak berhak menyuarakan pandangan dan diraikan dengan tanpa sekatan atau tapisan.

“Namun dua perkara utama ditetapkan dalam mesyuarat itu UMNO menarik sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan ahli-ahli Parlimen UMNO diberi kebebasan menggunakan budi bicara dalam sebarang pengundian percaya atau tidak percaya di Dewan Rakyat kelak.

“Setelah mesyuarat tamat, maka kenyataan Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dibaca secara langsung kepada media, kemudian keesokan harinya disusuli kenyataan tambahan yang dimandatkan kepada Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan.

“Kedua-dua kenyataan Presiden dan Setiausaha Agung merangkumi dua ketetapan utama seperti yang di atas,” katanya dalam kenyataan.

Kelmarin UMNO mengumumkan sokongan terhadap Perdana Menteri ditarik balik serta-merta dan keputusan tersebut adalah berpandukan tujuh kegagalan Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Dalam pada itu, Shahril Sufian berharap seluruh ahli dan terutamanya pemimpin UMNO tanpa kira kedudukan dan jawatan dapat terus memperkuat parti, menjuarai dan meyakinkan rakyat terutamanya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15.

“Itulah medan sebenar menguji kekuatan sama ada parti dan pemimpin mendapat kepercayaan daripada rakyat segenap generasi atau tidak. Tiada percaturan daripada mana-mana pihak yang mampu mengubah hakikat ini. Ternyata situasi rakyat tidak menjadi lebih baik atau gembira membaca butiran persaingan atau percaturan politik terbuka apatah lagi disaat ini.

“Ke arah itu, dalam membuat sebarang keputusan seterusnya, didoakan semua pemimpin dan figura dalam UMNO diberi kebijaksanaan dalam kenyataan, kerja dan gerak langkah agar semua aset parti kita dapat digemblengkan menjadi suatu ketumbukan padu untuk penilaian rakyat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN