Ada baik buruk industri seni dibuka semula - Nizam Zaidi - Utusan Malaysia

Ada baik buruk industri seni dibuka semula – Nizam Zaidi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon, Nizam Zaidi, 29, melihat ada baik dan buruknya apabila menerima perkhabaran sektor penggambaran dibenarkan semula beroperasi walaupun dalam keadaan perlu mematuhi prosedur operasi standard yang ketat.

Menurutnya, walaupun ramai lega mendengar khabar gembira itu, namun baginya dari satu sisi ia masih menimbulkan rasa bimbang apa lagi dalam keadaan kes wabak Covid-19 yang mencatatkan jumlah tinggi sehingga ke hari ini.

“Ada pelbagai perspektif. Satu, Alhamdulillah dapat masuk set penggambaran semula. Jadi, adalah peluang untuk kami semua kembali bekerja. Kedua, bimbang juga sebab kes masih tinggi dan rasanya mungkin boleh ditangguhkan dahulu.

“Saya sendiri pun tak tahu nak cakap macam mana sebab ada macam-macam perspektif. Ramai nak kembali bekerja tapi dalam masa yang sama kes masih tinggi, bagaimana?

“Kalau tidak beroperasi pula, kasihan juga pada anak-anak seni dan pekerja belakang tabir yang terjejas. Macam mana nak cari makan?” katanya dalam satu sidang media mempromosikan drama SiTik Tok baru-baru ini.

Selain itu, kata Nizam, dia tentunya sedar mengenai rintihan ramai pekerja belakang tabir yang kehilangan sumber pendapatan akibat pandemik dan penutupan sektor seni.

“Saya ada kenalan kru-kru yang berdepan dengan situasi sukar. Sewa rumah tertunggak. Ada antaranya lebih fikirkan bagaimana nak bayar sewa dan bil berbanding nak fikir isi perut sendiri.

“Situasi beginilah yang saya kata sangat kasihan itu. Macam mana ya? Rasanya lebih baik kita pastikan semua pekerja baik yang di belakang tabir mahupun pelakon supaya dapatkan suntikan vaksin dahulu. Itu penting,”katanya.

Sementara itu, Nizam melahirkan rasa syukur kerana sekurang-kurangnya dia tidak melalui ujian berat sebagaimana rakan-rakan kru tersebut namun masih berhati-hati dalam menguruskan kewangan.

Malah, menurut Nizam, sekiranya mampu dia juga mahu membantu meringankan beban rakan-rakan termasuk orang yang tidak dikenali yang menghubunginya di media sosial.

“Selain rakan-rakan, ada juga individu yang tak dikenali mesej dan meminta tolong daripada saya menerusi media sosial. Kalau boleh memang nak bantu tapi apakan daya, diri sendiri pun terkesan dengan keadaan,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai perkembangan peribadi selepas ramai menyaksikan hubungannya dengan pelakon Nonny Nadirah berakhir di pertengahan jalan, Nizam mengaku kini lebih positif.

“Nama pun manusia. Alhamdulillah, kita makin kenal dan cinta pada Tuhan, keluarga dan diri sendiri. Rasa cinta itu tidak akan pernah putus tetapi diarahkan kepada cinta yang lebih baik.

“Bila teringat balik tentang apa yang terjadi, semuanya telah tertulis. Sama ada kita nak jadi positif atau negatif itu terserah. Bersyukur sahajalah sebab semua ada hikmahnya,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya