6,769 Orang Asli terima vaksin - Utusan Malaysia

6,769 Orang Asli terima vaksin

ABD. Latiff Ahmad (dua dari kanan) ketika melakukan lawatan menyantuni para penerima vaksin Covid-19 dalam kalangan pemimpin masyarakat Orang Asli di Kampung Tanah Abang, Mersing, Johor. - UTUSAN/MASTURAH SURADI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING: Seramai 6,769 Orang Asli di seluruh negara telah menerima suntikan vaksin Covid-19 dos pertama dengan 1,599 daripadanya pula sudah lengkap mendapat dua suntikan sehingga 29 Jun lalu.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad berkata, kementeriannya berharap supaya kesemua 144,180 masyarakat Orang Asli di seluruh negara yang layak divaksin dapat menerima suntikan dengan segera.

Katanya, ia bagi membantu kerajaan mencapai imuniti kelompok yang disasarkan melibatkan kira-kira 80 peratus rakyat Malaysia sebelum akhir tahun ini.

Menurutnya, kementerian juga akan mempergiatkan usaha memberi penerangan mengenai suntikan vaksin khususnya kepada masyarakat Orang Asli dalam mengekang penularan Covid-19.

“Bagi menyokong pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), kementerian turut memperkenalkan bas bergerak Mara Liner bagi dijadikan sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak untuk membawa vaksin ke perkampungan Orang Asli dan masyarakat pedalaman.

“Selain membantu memudahkan urusan pengambilan vaksin, bantuan secara bersasar kepada masyarakat luar bandar turut diberi perhatian dalam pada mereka mengharungi impak pandemik Covid-19.

“Kejayaan pelaksanaan dasar kerajaan antara lain ditentukan oleh keberkesanan komunikasi dan kementerian akan membantu memudah cara penyampaian maklumat termasuk berkaitan bantuan supaya dapat dimanfaatkan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan menyantuni penerima vaksin Covid-19 dalam kalangan pemimpin masyarakat Orang Asli di Kampung Tanah Abang dekat sini hari ini.

Pada program itu, seramai 215 masyarakat Orang Asli di kampung berkenaan menerima suntikan vaksin Covid-19 jenis Sinovac.

Program itu dijalankan menerusi kerjasama di antara Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Covid-19 Immunisation Task Force (CITF), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Kesihatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN